Sabtu, 6 Ogos 2011

Kiah

“Tuan Haji, nak jumpa sekejap,” Kiah tersenyum-senyum simpul sebaik-baik aku menjenguk ke Pejabat Am tengah hari itu. Kiah semacam mengarahkan aku supaya berada agak jauh dari staf lain yang sedang sibuk bekerja di hadapan komputer masing-masing.
    “Tak banyak. RM50.00 jadilah. Ada masalah,” katanya tanpa diminta. Tanpa mahu bercakap dengan lebih panjang aku terus membuka dompet dan menghulurkan jumlah wang yang diminta.
    “Ini pinjam Tuan Haji ya! Bila ada duit nanti, Kiah bayar.” Dia sendiri yang membuat aku janji. Aku terus beredar.
    Walaupun aku tahu, Kiah sering berhutang dengan rakan-rakan lain termasuk bos nombor satu kami sendiri, tapi aku tak kisah. Kiah memang bergaji kecil. Bagaimanapun Kiah tak pernah menolak kerja yang aku suruh. Tangannya ringan. Kadang-kadang kerja yang tak disuruhpun dibuatnya.
    Sebenarnya aku sendiripun sudah lupa berapa tahun peristiwa ini telah berlaku. Yang pasti aku sudah hampir 15 tahun di sini. Kiah tak pernah buka mulut pasal cerita bayar.
    Aku pun tak pernah ingin bertanya bila dia nak bayar hutang. Sejak memberikannya wang itu dulu, aku sudah meniatkannya sebagai sedekah sahaja tapi aku tidak hendak memberitahunya. Setidak-tidaknya aku boleh mengajarnya untuk lebih bertanggungjawab dengan komitmen yang dibuat sendiri.

Tiada ulasan: