Isnin, 22 Ogos 2011

Mata Syukri

Walaupun agak letih, aku terpaksa juga menemankan Pak Ali untuk menghantar Syukri dan Anas ke Pandan malam kelmarin.
     Syukri, pelajar Kolej Cybernatics diundang Pak Ali untuk mengimamkan sembahyang Tarawikh di rumahnya. Pak Ali mula mengenal Syukri sewaktu bersembahyang Tarawikh di Masjid Jamek, Kuala Lumpur minggu lalu dan tertarik dengan cara bacaannya lalu mengundangnya ke Seremban pula.
     Syukri buta matanya dan terpaksa menggunakan khidmat rakan sekolejnya, Anas hatta untuk membetulkan kedudukan di atas sejadah.
     Dalam suasana agak mengantuk (terlelap seketika sewaktu menunggu Pak Ali menjemput di rumah jam 11.00 malam, selepas pulang dari rumahnya jam 10.15 malam), aku membuka pintu dan tidak boleh berbuat apa-apa, apabila Pak Ali menyerahkan kunci Mercedesnya.
     “Aku mengantuklah,” katanya pendek.
     Aku tiada pilihan lalu memandu keluar dari Taman Pinggiran Golf.
     Dalam keadaan macam `separuh tidur’ kami masih sempat berbual.
     “Terang lagi!,” Anas merujuk keadaan stadium yang masih menyala lampunya.
     “Stadium Tuanku Abdul Rahman ke?,” Syukri menyampuk.
     “Tengok bolake?,” Pak Ali semacam ingin tahu.
     “Pasukan pilihan saya Kedah. Saya suka Fauzi Shaari dan Badrul Bakhtiar,” jelas Syukri yang masih berusia awal 20-an itu.
     Mataku tiba-tiba bagai mahu terbuka penuh.
     “Hendak ikut jalan mana?,” aku merujuk Pak Ali di persimpangan Senawang-Seremban.
     “Ikut Serembanlah. Saya nak tengok Seremban,” Syukri pula menjawab.
     Mataku lebih terbuka lagi.
     Sewaktu lalu di depan Kompleks Belia dan Sukan Paroi, aku lebih terkejut dengan kemampuan Syukri yang buta itu.
     “Ini downtown Seremban.”
     “Macam yang ada dekat Pandan itu ke?,” Syukri merujuk Anas.
     Lebih menghairankan, Syukri semacam nampak arah arus kereta apabila sampai di Kuala Lumpur.
     “Abang patah kiri, lepas itu cepat-cepat pusing kanan,” arahnya apabila kami melalui jalan yang sesak. Aku terus kaget.
     Daripada cermin kereta, aku sering nampak Syukri menggesek-gesekkan matanya. Keadaan yang sama, aku lihat sewaktu dia mengimamkan Tarawikh tadi.
     “Betulke dia ni buta?,” terlintas juga prasangka jahatku.
     “Kalau tak buta, macam mana pula aku boleh lihat kedudukan kiblatnya lari sedikit tadi? Sewaktu Ustaz Munzir mengambil alih majlis untuk majlis tahlil, Syukri aku lihat mulanya mengarahkan bontotnya kepada kami.”
     Dalam aku berfikir-fikir begitu, Anas memberitahu bahawa kami telah sampai ke tempat di tuju.
     “Itu flat kediaman kami,” katanya.
     “Sebelah Restoran Nininsha,” Syukri pula menyampuk.
     Mengantukku hilang terus.
oleh: Shariff Ahmad

Tiada ulasan: