Siapa tidak kenal Masuri S.N., Suratman Markasan, Edwin Thumboo (Singapura), Anne Fairbairn Am (Australia), Chiranan Pitpreecha (Thailand), Mohsin Ehsan (Pakistan), Susanna Checketts (Britain), Taufiq Ismail (Indonesia) dan ramai lagi.
Lebih menggembirakan, penyanyi kegemaranku, Ramli Sharip turut bersama dalam perhimpunan selama seminggu itu. Abang Ramli seperahu denganku sewaktu rombongan kami menuju Kuala Tahan, Pahang untuk bermalam di sana. Bukti adanya hubungan Ramli-Zulkifli, aku memintanya mencatatkan sesuatu pada antologi puisi yang diterbit khas.
Oleh kerana kunjungan itu acara pertama pertemuan, aku mengambil kesempatan mendekati beberapa penyair yang kukenal sejak zaman persekolahan – Masuri S.N. dan Suratman Markasan.
Bagaimana aku boleh melupakan `Ini Nasi Yang Kusuap. Pernah menjadi padi harap’, nukilan Pak Masuri? Lalu aku berbual-bual dengannya sambil membelek-belek buku di kedai koperasi DBP.
”Susah hendak dapat buku Melayu di Singapura,” jawab Pak Masuri sewaktu aku menampakkan wajah ingin tahu sewaktu melihatnya rakus mengasing-asingkan beberapa buku dari rak ke kaunter bayaran.
Rasa ingin tahuku akhirnya bertukar kaget. Kira-kira 10 buah buku yang dibeli oleh Pak Masuri adalah buku tulisannya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan