Isnin, 8 Ogos 2011

Pandai Bahasa Anjing

Suami mengambil saya di pejabat. Perjalanan ke rumah agak mengambil masa. Hari sudah lewat petang. Penatnya bukan main. Bukan sahaja penat kerana bekerja, tapi juga penat menunggu dia yang bertolak dari pejabatnya di Selangor.
    Saya tidak berselera berbual kerana penat dan sedikit memberontak. Lama sangat menunggu. Sampai pening-pening kepala saya.
    Tiba-tiba suami membrek. Saya melihat ke hadapan. Seekor anjing sedang berada di tengah jalan, seekor lagi sudah berjaya menyeberang.
    "Teruk betul anjing ni. Dah tahu bahaya, main-main lagi di tengah jalan..." saya merungut.
    "Agaknya apa yang anjing-anjing tu cakap tadi bila abang brek kereta?" Dia bertanya serius.
    "Buta punya manusia! Tak nampak ke saya tengah menyeberang jalan?" kata saya.
    "Lagi?"
    "Nasib baik saya tak mati hari ini. Kalau tak, sedihlah anak-anak saya. Kalau saya mati dan jadi hantu, saya akan cekik manusia yang langgar saya..."
    "Hebatnya! Kagum betul abang. Memang tak sangka langsung..." Begitu dia berkata.
    Saya mengecilkan mata. "Kenapa?" tanya saya.
    "Macam itu ya. Hmmm...abang tak sangka pula selama hari ini isteri abang faham bahasa anjing...". Dia ketawa kuat, menimbulkan rasa geram di hati.
    Terkena lagi saya kali ini.
    Tapi selepas itu keletihan saya pun hilang. Namun saya terpaksa awas kalau dia mula bertanyakan apa-apa. Bukannya apa, takut terkena sekali lagi.
oleh: Ratna Laila
http://www.flickr.com/photos/anda74/5083843804/

Tiada ulasan: