Ahad, 7 Ogos 2011

SS Sahabat Baikku

MUNGKIN tidak ramai yang tidak kenal siapa Abdullah Sani Abd Hamid di bandar kecil Seremban. Dia, Pengarah Yayasan Negeri Sembilan tapi jawatan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) yang membuatkan dia lebih dikenali. Kenyataannya di akhbar dan televisyen kadang-kadang mengundang polemik dan kontroversi.
    Dia memang rapat denganku. Selain perhubungan antara seorang petugas media dengan setiausaha persatuan sukan nombor satu, aku sering membantunya menguruskan pelbagai penerbitan sejak beliau bertugas sebagai Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Seremban sebelum itu.
    Malah, ketika diberi tanggungjawab mengetuai Unit Dewan dan Protokol Negeri, Encik Dollah (begitulah rakan-rakan rapat memanggilnya), dia sanggup `memperjudikan’ kerja rasminya semata-mata rasa persahabatan dengan diriku.
    “Satu syarat! Senarai ini hanya untuk kau. Jangan kongsi dengan orang lain,” katanya sambil menyerahkan senarai penerima Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dua hari kemudian.
    Dengan kelebihan itu, aku mampu menghantar senarai penuh penerima pingat ke Berita Harian lebih awal. Aku hanya akan menghubungi ibu pejabat sekiranya berlaku perubahan (biasanya hanya membabitkan jumlah yang kecil. Antara yang aku masih ingat, Ketua Siasatan Jenayah Negeri ditarik balik pencalonan, tidak sampai 12 jam daripada masa istiadat penganugerahan).
     Suatu hari, beberapa bulan mengetuai Yayasan Negeri, aku dipanggilnya ke pejabat.
    “Kau tolong uruskan penerbitan buletin Yayasan macam pernah kau buat dulu,” arahnya pendek.
    “Kau boleh jumpa Malik Kahar. Kau bincang dengan dia untuk dapatkan bahan,” katanya lagi. Malik yang dimaksudkan ialah pegawai yang baru dilantik di agensi itu selepas beliau bersara dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
    Keluar dari pejabat beliau, aku terus ke pejabat Malik pula. Aku memang mengenalinya. Kecekapan kerjanyalah memungkinkan beliau dilantik oleh Menteri Besar, Datuk Mohamad Hassan yang ke jawatan itu. Bagaimanapun perlu diakui, penerbitan bukan bidangnya.
    Setelah berbincang dengannya langkah-langkah awal yang perlu dibuat bagi menguruskan penerbitan buletin itu, aku meminta Malik menyiapkan bahan dan foto berkaitan. Aku memberikan tempoh dua minggu untuk menyediakannya.
    Apabila tiba masa yang dijanjikan, aku datang kembali menemui Malik.
“Ini bahan yang kau minta,” kata Malik sambil membuka sampul surat besar yang hanya memuatkan tujuh keping gambar tanpa sebarang catatan.
    “Eh! Tak kan banyak ini sahaja. Mana ceritanya?,” tanyaku terkejut.
    “Orang kata kau hebat. Kau dah banyak selesaikan penerbitan orang lain,” jawabnya.
    “Kalau hebat pun geng, takkan dengan tujuh keping gambar saya boleh terbitkan buletin 32 muka,” jawabku pula.
    Memikirkan Malik mungkin tidak ada pengalaman menguruskan penerbitan, aku memberi penerangan ringkas mengenainya.
    Aku juga memberikan tarikh untuk menyerahkan bahan sebelum aku dapat memulakan kerja-kerja suntingan dan reka letak halaman.
    Mungkin dalam kesibukannya terpaksa menguruskan pelbagai kerja termasuk menulis teks ucapan Menteri Besar (itu menurut ceritanya) Malik masih tidak dapat menyerahkan bahan yang dijanjikan walaupun tempoh yang diberikan telah lama berakhir.
    Berikutan insiden itu, aku sering sahaja diperli oleh Datuk Dollah apabila bertemu. Kadang-kadang dia memperliku di depan orang ramai.
    “Harap tie saja melintang. Buletin aku tak siap-siap juga,” katanya selamba yang mungkin lebih bersifat mengusik tetapi ia tetap menyentuh hati kecilku.
    Walaupun kata-katanya itu boleh aku sifatkan mencabar kewibawaanku, aku tidak pernah mahu mengatakan perkara sebenar di depan orang ramai. Sebagai kawan, aku tak mahu memalukannya.
    Sehinggalah Malik ditukarkan berkhidmat di luar negara, penerbitan buletin itu masih tidak menjadi kenyataan. Datuk Abdullah Sani pula kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan akhirnya bersara sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal-Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.
    Tak kenal lagi beliau. Datuk Abdullah Sani ialah Setiausaha Suruhanjaya Di Raja Kes Peguam V. K. Lingam – “Correct! Correct! Correct!”

Tiada ulasan: