Jumaat, 12 Ogos 2011

Ramli, Kenton, Pintal dan John

Aku mula kenal orang Asli sejak bersekolah rendah lagi. Kampung Tekir, perkampungan orang Asli hanya terletak kira-kira tiga Kilometer dari sekolahku, Sekolah Kebangsaan Labu Ulu.
    Dalam kelasku sendiri ada murid orang Asli – Ramli (nama penuhnya Ramli Taka), Kenton dan adik perempuannya Pintal dan John. Daripada segi agama, aku tidak tahu pegangan Ramli, Kenton dan Pintal tapi John sudah pasti beragama Kristian. Peliknya kampung itu kecil sahaja tapi mempunyai gereja yang tidak setaraf dengan saiznya jika dibandingkan dengan jumlah penduduk.
    Tanpa mahu menghina mereka, keempat-empat rakanku ini agaknya tidak mandi ke sekolah. Bau badan mereka sering sahaja mengganggu.
    Bagaimanapun hubungan kami tetap mesra. Belajar dan bermain bersama-sama. Aku masih ingat bagaimana gembiranya kami bermain polis-sentri, Pukul Berapa Datuk Harimau? atau bermain batu Seremban.
    Sewaktu kelas Pendidikan Jasmani yang disebut Senaman pada waktu itu, kami berteriakan gembira kerana Allahyarham Cikgu Kamarudin Kamat mengajak kami bermain sorok kain di belakang.
    Permainannya mudah. Kami diminta duduk dalam bulatan sambil menundukkan kepala ke tanah. Seorang daripada kami perlu berlari mengelilingi bulatan dan meninggalkan kain yang dipintal hujungnya (bagi mewujudkan rasa sakit apabila diketuk) di bahagian belakang kawan.
    Sekiranya kawan yang diletakkan kain di bahagian belakangnya segera sedar, dia akan mengejar orang yang meletakkan kain itu dan memukulnya sekuat-kuat hati (apabila sudah jadi cikgu baru aku tahu, permainan ini bertujuan untuk menguji sensitiviti deria).
    Sekiranya kita tidak sedar (lalai) pula, orang yang berada di sebelah kita pula akan memukul sekuat hati. Apa lagi akan bercemperalah kita lari.
    Pagi itu John lalai. Aku yang berada di sebelahnya tanpa membuang masa terus membelasahnya sekuat hati sehingga menyebabkan dia menangis.
    John yang bertubuh kecil itu tidak mampu menahan belasahanku lalu meraung sekuat hati sambil berlari. Raungan John semakin kuat apabila ada kawan yang memberitahu bahagian belakangnya penuh dengan darah (bukan betul, usik sahaja).
    Aku tidak tahu di mana John tapi Ramli kemudiannya menyertai Skuad Senoi Praq (Polis Hutan), Kenton seorang tentera manakala Pintal yang manis itu menjadi rakan seprofesionku – seorang guru.
    Kampung Tekir pula turut merasa nikmat pembangunan. Kedudukannya di pesisir Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran R&R Seremban (Labu).

Tiada ulasan: