Jumaat, 12 Ogos 2011

Ditipu Orang Asli

Suami saya bercerita lagi. Sudah pasti sambil ketawa, sesuatu yang sangat sinonim dengannya. Kali ini dia yang suka mengenakan orang akhirnya terkena juga!
    Katanya peristiwa itu berlaku lama dahulu, barangkali puluhan tahun lalu saat dia masih bujang dan kacak ("kacak" itu dia sendiri yang menambahnya).
    Di kebun bapanya memang ada beberapa batang pokok petai. Bapanya seorang guru tetapi turut mengisi masa senggang dengan menternak itik dan berkebun. Oleh kerana waktu itu musim petai, bapanya meminta dia memanjat pokok untuk menurunkan ulam kegemaran orang Melayu itu.
    "Mana boleh. Abang kan jejaka kacak masa itu, mana boleh panjat pokok petai..." dia beritahu saya sambil ketawa.
    Dia mendapat idea untuk mengupah seorang lelaki kaum asli untuk menurunkan petai-petai tersebut.
    "Tak ada masalah,"kata orang asli tersebut.
    "Tapi mesti janji, petai-petai yang jatuh ke tanah sahaja mesti dibahagi dua. Separuh untuk saya dan separuh untuk encik," sambung orang asli itu lagi.
    Wah, sukalah hati suami saya mendengarnya. Dapatlah dia menonton wayang P.Ramlee bertajuk "Ibu Mertuaku" dengan hasil jualan ulam petai tanpa perlu bersusah payah memanjat pokok yang tinggi itu. Bakinya barulah diserahkan kepada bapa, demikian dia berangan-angan.
    Lelaki orang asli itu pun memanjat dan menjatuhkan berpapan-papan petai ke tanah. Tetapi suami berasa hairan mengapa orang asli itu tidak mengambil papan-papan petai yang berhampiran dengannya.
    "Barangkali dia mahu menurunkan petai di dahan-dahan yang jauh dahulu," fikir suami saya.
    Suami mengumpul petai-petai itu. Petai-petai dibahagi dua persis yang dijanjikan.
    Kemudian dia memerhati ke atas pokok. Orang asli tersebut mengambil petai-petai yang berhampiran dengannya dan mengalungkannya ke leher, separuh daripadanya diselitkan ke pinggang.
    Lelaki itu pun turun dari pokok. "Mana saya punya?" Dia bertanya.
    "Ini yang saya longgokkan. Tapi yang ada di leher dan pinggang awak tu...?"
    Orang asli itu senyum.
    "Ini saya punya. Tadi kita kan sudah janji, petai-petai yang jatuh di atas tanah sahaja kita bahagi dua. Yang ada di leher dan pinggang ini tak jatuh ke tanah. Jadi, semua ini saya yang punyalah.”
    Terkena aku kali ini, fikir suami. Dalam kiraannya ada lebih tiga puluh papan petai yang dibawa turun oleh orang asli itu. Bermakna dia mendapat lebih hasil daripada orang yang mengupahnya!
    "Jadi, siapa yang pandai Yang?" tanya suami dengan ketawa yang bertali-temali.
    "Itulah..." jawab saya. "Suka sangat mengenakan orang. Akhirnya diri sendiri yang terkena..."
oleh: Ratna Laila

Tiada ulasan: