Jumaat, 19 Ogos 2011

Beijing: Yang Berbeza Cuma...


Sewaktu menanti penerangan mengenai khasiat teh hijau, tukang
catat sempat bermain `cermin mata' dengan Kak Aisah Daon di Beijing.

Sebagaimana selalunya, masuk hari ketiga aku mula tidak berselera makan sewaktu berada di luar rumah agak lama. Tidak kisahlah sama ada ianya di London, Paris, Florida atau sekadar hotel lima bintang di Kuala Lumpur.
     Sewaktu bekerja dulu, aku memang sering bermesyuarat atau mengendalikan latihan di luar kawasan. Aku sudah tahu strategi hotel. Menu hari pertama akan sampai kembali pada hari ketiga. Tidak pelik, tinggal di hotel tapi aku cari makan di gerai biasa. Memang aku ini orang kampung agaknya.
     Bukan hendak sombong, aku juga tidak terkilan sekiranya ada rakan yang tiba-tiba menelefon, “Maaf Geng! Aku terlupa ajak kau. Kami baharu saja makan malam di Le Meredian.”
     Bagaimanapun dalam kunjungan ke Beijing, suasana agak berlbeza. Aku berselera sungguh makan sehinggalah hari empat. Ini bukan pasal lauk atau sayur yang dihidangkan tapi mungkin ketika itu badan `hendak besar’. Begitu selalu emak berkata sekiranya aku kuat makan pada hari-hari tertentu sewaktu kecil dulu.
     Bagi yang biasa ke Beijing, tidak sukar mencari restoran halal. Syaratnya ada duit. Harga yang ditawarkan pula tidak mahal. Apa yang pasti, sayurnya banyak dan telur dadar wajib ada. Telur dadarpun aku rasa cukup sedap di sini.
     Kalau orang kata orang Beijing kotor dan busuk kerana bawang putihnya, aku berani turunkan mohor bahawa persepsi itu 100 persen silap. Restoran Halal di Beijing walaupun dijalankan secara kecil-kecilan oleh sesebuah keluarga, ia bersih sekali.
     Tidak pelik. Sewaktu hendak masuk ke restoran, kita terpaksa menyelak langsir getah yang memang dipasang di pintu bagi mengelakkan habuk dari luar masuk walaupun kawasan itu tidak berdebu.
     Bagaimanapun ada cerita pelik di Beijing. Aku fikir ia tidak berlaku di semua restoran. Mungkin restoran yang kami singgahi sahaja.
     Cerita ini berlaku pada hari empat. Selera makan sedapku terhenti pada hari itu. Puncanya cuma satu. Setelah penat memanjat Tembok Besar China, kami dibawa ke sebuah restoran  besar. Agak-agak aku boleh menempatkan kira-kira 500 orang pada sesuatu masa.
     Walaupun pelancong asing beragama Islam adalah minoriti di sini jika dibandingkan pelancong asing lain, mereka disediakan bilik makan khas. Di pintunya tertampal logo halal dan tulisan Muslim Room.
     Dalam kelaparan, ketua rombongan Datin Rohani Shariff membuat pesanan menu yang hampir sama seperti hari-hari sebelumnya. Aku lihat rombongan kumpulan lain yang bukan beragama Islam, juga berbuat demikian.
     Sewaktu melalui bilik masakan restoran itu untuk ke kamar kecil, aku terlihat sebuah ruang besar tempat menyediakan makanan. Aku berhenti seketika untuk melihat kesibukan mereka.
     Di situ tukang masak sibuk sekali. Untunglah masakan China tidak memerlukan mereka untuk memerah kelapa, menumbuk cili api atau menumbuk kunyit hidup. Masakan mereka cukup mudah dimasak, hanya mencampakkan kailan, sawi atau bunga kobis ke dalam kuali besar yang sudah sedia menungguh supnya.
     Kalau ada yang susah sikit, mereka terpaksa memotong itik kering yang agak liat. Itupun bukan persoalan, pisau dapur mereka cukup tajam. Dengan hanya beberapa hentakan kuat, itik kering siap terpotong kecil.
     Aku cuba meninjau sekeling, kalau-kalau ada dapur lain yang khusus untuk makanan orang Islam. Ternyata tiada.
     Sewaktu memerhati pergerakan mereka dari dapur ke meja hidang, semua makanan datang dari dapur yang sama. Yang berbeza cuma ruang makannya. Untuk ruang makan Muslim ada labelnya manakala yang lain tiada apa-apa. Begitulah adanya…

Tiada ulasan: