Ahad, 7 Ogos 2011

Ketua Satuku

WALAUPUN kelihatan uzur kerana penyakitnya, Ketua Satu tidak pernah putus harap untuk merealisasikan impiannya untuk menerbitkan buku biografi penulis negeri. Pada setiap kali mesyuarat jawatankuasa, aku dapat menghidu keinginannya itu.
    Aku bagaikan rasa berhutang pula kerana masih gagal menguruskan penerbitan buku itu sedangkan manuskripnya telah lama disiapkan bersama isterinya. Dalam persatuan, aku ditugaskan memikul tanggungjawab Pengerusi Biro Dokumentasi dan Penerbitan.
     Telah agak lama juga Ketua Satu menjaja manuskripnya itu tetapi tidak ada penerbit yang mahu membukukannya. Malah penerbit ternama di bawah naungan kerajaan yang telah menjanjikan menguruskan penerbitannya juga masih tidak berbuat apa-apa.
    “Buku ini mendokumentasikan sumbangan penulis negeri sejak Za’ba. Kalau kita tidak mengusahakannya, siapa lagi?” Kata-kata seperti itu sering sahaja dilontarkan dalam nada suara lembutnya.
    Sehinggalah kira-kira dua minggu lagi majlis anugerah sastera yang buat julung-julung kalinya diadakan di peringkat negeri, buku itu masih tidak dapat diterbitkan sedangkan dalam mesyuarat sebelumnya ia turut diputuskan menjadi bahan pelancaran. Malah orang nombor satu negeri telah bersetuju melakukan pelancarannya di samping membiayai sepenuhnya majlis anugerah itu.
    Pada mesyuarat jawatankuasa persatuan menjelang majlis anugerah, Ketua Satu tidak mampu lagi memberi apa-apa pandangan kerana ketika itu dia terlalu uzur. Selain penyakitnya, dia terbabit dalam kemalangan jalan raya yang hampir mencabut nyawanya.
    Sejak itu dia terlantar di rumah dan tidak mampu lagi berinteraksi. Dia hanya mampu menggenggam perlahan jabat tangan yang dihulurkan ketika sedarnya sedangkan matanya tertutup rapat.
    Biasanya isterinyalah yang memaklumkan siapa yang datang dan memberitahu perkembangan persatuan walaupun tahu kata-kata itu tidak akan dapat jawapan.
    Rasa keberhutanganku semakin menggelisahkan. Entah kekuatan apa yang diberi tuhan, aku terus membuat komitmen pada mesyuarat itu untuk menghantar surat memohon tajaan penerbitan buku berkenaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
    Malam itu aku menulis surat kepada beliau dan pada keesokan harinya aku mengantarkannya kepada setiausaha akhbarnya, Bung Mokhtar Alias  yang juga kenalan lamaku.
    Sewajarnya aku berterima kasih kepada Bung Mokhtar kerana dua hari kemudian aku dimaklumkan Menteri Besar  bersetuju membiayai kos penerbitan buku itu sepenuhnya.
    Menjelang dua hari sebelum majlis anugerah, buku itu telah siap dicetak dan aku terus menghantar beberapa naskhah ke rumah Ketua Satu.
    Aku tidak dapat menahan sebak apabila melihat isteri Ketua Satu menunjukkan buku itu kepada suaminya. Seperti biasa, dia terus melaporkan:
    “Abang! Buku kita telah siap dicetak. MB sendiri akan melancarkannya malam lusa.” Pada wajah Ketua Satu semacam kelihatan berubah riaknya. Aku semakin sebak.
    Pada malam anugerah, Ketua Satu tidak dapat menyaksikan buku yang diimpikan, dilancarkan. Beliau juga tidak dapat menerima hadiah dari tangan orang nombor satu negeri sebagai pemenang Anugerah Penggiat Sastera Negeri.
    Setelah beberapa bulan selepas majlis anugerah itu, Ketua Satu tidak dapat bermesyuarat bersama kami lagi. Dia telah dipanggil Ilahi.

Tiada ulasan: