Rabu, 1 Jun 2011

Pemberita Nombor Satu

Aku memang bukan orang sukan. Sebutlah apa-apa jenis sukan, aku tidak pernah terbabit secara serius. Kalau adapun cuma pernah jadi wakil daerah dalam Pertandingan Sukan Antara Pegawai Perkhidmatan Pelajaran bagi acara pingpong Bukan Melayu sewaktu bertugas di sekolah rendah dahulu. Jadi naib juara pula tu. Sebelum itu pula, penah sekali aku ditugaskan sebagai penjaga garisan perlawanan bola sepak yang mengundang kontroversi. Aku dipersalahkan kerana membiarkan tindakan `curi ayam’ yang membolehkan pasukan itu menang mudah.
      Bagaimanapun aku sering dirujuk dalam bidang sukan, sejak jadi stringer Berita Harian. Boleh dikatakan setiap hari ada saja cerita aku di halaman sukan.
      Minat menulis cerita sukan ini datang secara tidak sengaja. Minat bermula sewaktu Majid Said menjadi  wakil negeri Berita Harian. “Zul, hang tulis story  sukan. Aku dah tak ada masa dah. Story lain banyak,” katanya pada suatu hari.
      “Sebagai permulaan hang tulis story ini. Lima pemain utama negeri digugurkan.”
      Aku akur dengan permintaannya.
      Besok paginya  aku terkejut. Berita itu dijadikan page lead muka belakang dan panjang pula. “Seronok juga. Selain dapat by-line, cerita panjang pula,” fikir hati kecilku.
      Pada hujung minggu itu  ada perlawanan di Padang Stesen, Seremban. Perlawanan siri Piala Malaysia. “Hang cover game tu,” pinta Majid petang itu dengan gaya selambanya. “Sabtu ini aku ambil cuti,” tambah Majid yang masih berulang-alik dari Kuala Lumpur ketika itu.
      Pengalaman pertama membuat liputan Piala Malaysia memang aku rasa cukup  menyulitkan. Fakta tidak ada masalah; cuma pastikan minit ke berapa jaringan dibuat dan apa insiden menarik yang berlaku sepanjang perlawanan. Yang memeningkan kepala bagaimana hendak mengolah cerita sebagaimana yang selalu aku baca. Aku ingin sangat hendak menggunakan ungkapan seperti menembus gawang gol, hantaran lintang, umpanan cantik dan sebagainya. Colourful dan bombastic.
      Waktu itu Hishamudin Aun yang mengambil cerita yang masih dihantar melalui panggilan telefon awam di luar Padang Stesen. Ingat sangat bagaimana aku terpaksa menjerit dalam suasana bising menghantar cerita yang aku anggap cukup colourful itu.
      “Zul masa dah lewat ni. Hang bagi aku point cukup,” pinta Hishamudin di hujung talian.
      Besoknya berita itu jadi berita utama muka belakang lagi. By-line besar pula. Aku sendiri terkejut badak. Hishamudin boleh menjadikan perlawanan itu cukup menarik tanpa hadir di stadium. Jauh lebih baik daripada aku yang terpaksa berada hampir dua jam di stadium.
      Sewaktu minum petang berhampiran pejabat, aku ditegur seorang rakan lama. “Hebatlah ceritakau di Berita Harian hari ini. Aku rasa lebih seronok baca ceritakau daripada menyaksikan perlawanan sebenar semalam,” nadanya jujur.
      Aku hanya mampu tersengih.

Tiada ulasan: