Rabu, 1 Jun 2011

Berita Nombor Satu

Setelah lapan tahun bertugas jauh dari kampung, aku gembira sekali apabila permohonan bertugas tidak jauh dari Seremban diterima. Selain tidak perlu menyewa rumah kerana mentua hanya tinggal berdua, hasratku untuk menjadi penulis yang lebih prolifik akan lebih cepat menjadi kenyataan. Ini kerana pejabat akhbar hanya ada di Seremban.
      Biasanya kalau tidak ada aktiviti petang di sekolah, kira-kira jam 3.00 petang aku sudah terjongol di pejabat New Straits Times Press (NST) yang terletak di persimpangan Jalan Dato’ Bandar Tunggal dan Jalan Sungai Ujong (berhadapan padang Majlis Perbandaran Seremban).
      Waktu itu aku sudah menjadi stringer rasmi Berita Harian. Kumpulan NST hanya menempatkan seorang wartawan tetap yang menulis untuk akhbar The New Straits Times dan Malay Mail.  Lain-lainnya cuma pemberita sambilan.
      Begitu juga dengan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu. Hanya seorang wartawan sepenuh masa yang ditempatkan di pejabatnya di Jalan Templer (kini, Jalan Tun Dr. Ismail). Beliau wartawan yang agak berpengalaman dan disegani di kalangan kami.
      Oleh kerana masih tidak ramai petugas media ketika itu, hubungan sesama kami cukup akrab. Walaupun sedar kami bersaing sesama sendiri tetapi semangat setiakawan cukup tinggi. Kami saling bersama ke sidang media atau kunjung mengunjung ke pejabat rakan.
      Mengenai kunjung-mengunjung ke pejabat rakan, aku  tidak dapat melupakan kunjunganku pada bulan puasa pada tahun 1981. Aku ke sana untuk bertemu rakan yang baharu cerita mengenai langkah Jabatan Agama Islam Negeri akan mendenda umat Islam yang makan di khalayak ramai  dengan memasukkan mereka ke dalam kereta mayat dan diarak di tengah pekan Seremban.
      Berita yang ditulis oleh rakanku itu disiarkan di muka depan akhbar Kumpulan Utusan.
      Bagaimanapun sebaik-baik aku melangkah masuk ke pejabat rakanku itu, aku terkejut melihat beliau sedang duduk mencangkung di muka pintu pejabatnya. Di tangannya sedang menatang pinggan dan mulutnya sedang mengunyah sesuatu.
      Aku terus menyergahnya. “Besok aku scoop pula. Wartawan turut diarak dalam kereta mayat!.”
      Dengan selamba dia terus menyuap. “Abang tak makan depan orang ramai,” katanya.
      Aku sempat terkebil-kebil sahaja.

Tiada ulasan: