Isnin, 6 Jun 2011

Balik Ke Kampung, Beri Ayam Makan Juga

Itu sidang akhbar pertama Dato’ Mohamad Haji Hassan di pejabat rasminya setelah dilantik mengetuai pucuk pimpinan negeri. Seperti biasa, tidak ada akhbar dan stesen televisyen yang tidak menghantar wakilnya walaupun tanpa press release mengenai majlis itu.
      Apatah lagi tokoh diserbu dengan pertanyaan demi pertanyaan mengenai pelantikannya itu. Tokoh yang tinggi semangat kekampunganya itu tetap tenang.
      Sesuai dengan latar belakang lalunya, seorang tokoh korporat yang disegani, Mohamad tidak menampakkan langsung sikap kekagumannya berada di bilik Menteri Besar.
      Sewaktu beberapa jurugambar meminta beliau berada di kerusi rasminya, bukan di kerusi pada meja besar berhadapan dengan kami untuk `foto hari pertama di pejabat’ Mohamad dengan lembut menjawab, “Geng! Saya belum mula kerja lagi. Meja itu pun masih kosong.”
      “Tak apalah, Dato’,” rayu Leong Weng Onn, jurufoto berpengalaman. “Biasanya akhbar kami pakai gambar ini.” jawabnya.
      “Apa kata orang kampung nanti. Lagipun hari masih panjang. Bukankah hari ini, hari pertama,” katanya selamba, masih dalam nada gurauan.
      “O.K. lah Dato,” kata seorang pemberita mengalah. “Sebagai orang korporat, tidakkah Dato’ akan menghadapi suasana bekerja yang jauh berbeza nanti?”
      “Korporat-korporat juga, geng. Balik ke kampung, saya beri ayam makan juga!,” jawabnya dalam ketawa.
      Kami tidak dapat berkata apa-apa.

Tiada ulasan: