Walaupun masih bertugas di Pahang pada tahun 1976, apabila balik kampung aku ambil peluang juga menulis rencana mengenai Negeri Sembilan. Sebagai penulis baru ada sahaja perkara yang menarik perhatianku. Paling tidak aku melaporkan kegiatan seni budaya tetapi lebih banyak rencana berbentuk pembangunan.
Waktu itu aku masih belum menjadi stringer rasmi Berita Harian. Maksudnya aku masih penulis bebas – boleh menghantar karya ke mana sahaja. Tulisanku boleh ditemui di Berita Harian, Utusan Malaysia, Utusan Melayu dan pelbagai akhbar tabloid yang terbit ketika itu.
Sewaktu aku menulis, aku tidak pernah terfikir ganjaran yang bakal aku terima. Bagaimanapun aku tahu, setiap tulisan yang berbentuk rencana tetap akan dibayar oleh akhbar utama seperti Berita Harian dan Utusan tapi bagi akhbar tabloid jarang aku merasa duitnya.
Bagaimanapun sewaktu balik untuk cuti panjang akhir tahun, aku terkejut apabila diberitahu oleh emak ada surat untukku. Lebih mengejutkan surat itu datangnya dari Pejabat Menteri Besar.
”Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus amat berbesar hati atas tulisan tuan di akhbar. Bersama-sama ini disertakan cek sebagai tanda terima kasih.”
Aku lebih tersentak melihat orang yang menandatangani cek itu. Tandatangan itu selalu aku lihat dalam buku program rasmi kerajaan. Sampai kini aku tidak pasti sama ada cek itu cek rasmi kerajaan atau cek peribadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan