Selasa, 21 Jun 2011

Jay Jay Punya Pasal


Seperti dalam cerita sebelum ini, murid Darjah 6 Kuning menghimpunkan murid terpandai di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin (TBS). Antara yang menyerlah, pastinya Norlaila, Johana, Maswati, Eddie Azman (budak handsome), Shatish dan ramai lagi.
       Walaupun masih berusia sekitar 12 tahun, mereka terdedah dengan perkembangan semasa. Apatah lagi, mereka murid-murid yang berotak cerdas.
       Sesi pembelajaran bersama-sama mereka berlaku dalam suasana ceria setiap hari. Ada sahaja soalan dan pertanyaan yang tidak dijangka yang terbit daripada mulut mereka.
       Sebagai bujang kecil dan gadis sunti, mereka tidak dapat lari mengikuti perkembangan dunia artis. Jay Jay merupakan antara penyanyi pujaan mereka selain Sharifah Aini dan Kathy Ibrahim.
       Antara mereka, Norlaila cukup rapat denganku. Selain bertemunya di sekolah, Norlaila, jiranku di Taman Clonlee. Bapanya, Pilus dan ibunya mempunyai hubungan akrab denganku. Pilus berkerja di Balai Polis Tampin manakala emaknya suri rumah sepenuh masa. Keluarga Pilus turut hadir dalam majlis perkahwinanku di Kampung Pelegong.
       Benarlah kata tokoh pendidikan, anak-anak yang mendapat penuh kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya akan menjadi anak yang berjaya. Apatah lagi kalau anak-anak ini sentiasa diberi perhatian. Setahu aku, cuma Norlaila, anak pasangan yang berasal dari Melaka ini.
       Sewaktu bertandang ke rumah mereka di waktu petang, ada sahaja cerita mengenai Norlaila. Pilus dan isteri benar-benar tahu luar dan dalam mengenai anaknya yang agak montel dan berkulit putih dan gebu itu.
       “Dia gilakan sangat Jay Jay, cikgu!,” begitulah cerita emaknya. “Pantang dengar lagu Rindu Bayangan, nasipun ditinggalkan,” tingkah bapanya dalam suasana ceria.
       Begitulah kehidupan keluarga kecil itu. Mereka sentiasa kulihat bahagia dan sering bersiar-siar dengan kereta Honda Civicnya, di waktu lapang.
       Suatu petang ketika bertandang ke rumahnya yang bersebelahan dengan rumah sewaan Waad Mansor yang kemudiannya menjadi Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Norlaila tiada di ruang tamu.
       “Norlaila mana?,” tanyaku seperti biasa.
       Pilus dan isterinya terdiam seketika.
       “Dia ada di dalam biliknya cikgu,” suara Pilus agak rendah.
       “Dia tengah menangis tu,” celah ibunya sambil matanya mengarah ke bilik.
       “Mengapa?,” tanyaku, ingin tahu benar.
       “Apa lagi! Pasal Jay Jaylah,” sahut emaknya.
       “Jay Jay! Kenapa?”
       “Alah! Tadi, surat khabar yang ada gambar Jay Jay tu diberakkan oleh ayam, jiran sebelah,” jawab ibunya jujur.
       Tiba-tiba sahaja perutku bagaikan hendak pecah menahan ketawa.

Tiada ulasan: