Selasa, 7 Jun 2011

Mencari Allah

Aku berasa amat bertuah kerana sesuatu yang tidak pernah aku impikan datang kepadaku tanpa kupinta.  Aku masih ingat apabila kali pertama pada tahun 1997 aku bertemu Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, ITM, Prof Madya Dr Baharuddin Aziz. Aku tunjukkan padanya tulisan-tulisanku yang pernah tersiar dalam akhbar serta beberapa anugerah penulisan yang pernah aku menangi.
     Dia terpegun, mungkin tanda kagum, dan lantas dia katakan padaku, “I want you to be with us!” Aku terus lambakkan rasa syukurku kepada Allah dengan kata-katanya itu. “You can have the scholarship, I would strongly recommend you,” tambahnya lagi, sedangkan aku tidak ada langsung latar belakang akademik dalam bidang komunikasi, apatah lagi kewartawanan. “A thousand thanks Doc, I would never forget you.”
     Aku tersenyum dan dalam senyuman itu terhambur air mata dalam dadaku. Aku manusia yang tiada cita-cita. Aku tidak pernah mengejar apa-apa, saban kali aku sekadar menadah tangan untuk menerima apa sahaja yang Allah hulurkan.
     Allah amat permurah. Ketika aku ditemuduga dan membentangkan proposal Penyelidikan Kewartawanan Penyiaran di hadapan ahli panel ‘Biasiswa Sarjana Kewartawanan’, aku telah ditanya satu soalan, “If you were to be conferred with the scholarship, where would you go to pursue your Master degree?”
     Dengan wajah rendah diri tetapi penuh kebanggaan aku berkata, “Institut Teknologi MARA.”
     Semua ahli panel yang terdiri daripada empat orang sarjana itu ketawa terbahak-bahak.
     Aku terpinga-pinga dan terus mencelah. “I’m sorry. Is it wrong? I’ve known many journalists who had graduated from the School of Mass Communication, ITM. As a matter of fact there are many of them at RTM, BERNAMA and TV3. I know Ibrahim Yahya (Ketua Pengarah RTM sekarang) of TV3, I know Nash (Pembaca Berita TV3) too, I know Adila of RTM (sekarang Datok, dan mengetuai IPTAR Angkasapuri), I know  Datok Salleh Rafie, Director of Information Ministry, and many more others.”
     “If you think that I’m not qualified for ITM, then I’ll go to UM or perhaps UKM or USM instead. There are Faculties of Communication studies there,” kataku lagi. Mereka terus tersenyum.
     “No Rahmat, you are too good for those. We want you to go abroad. Get a place within these few months, either US or UK. Get yourself prepared and fly off, but please come back with your Master degree,” kata ketua panel temuduga.     Aku bagaikan dihumbankan dengan ketulan emas dan permata kerana aku tidak pernah memimpikan itu semua. Aku anak kampung yang miskin, penjual kuih, anak buangan, yang pernah bekerja sebagai pencuci tong-tong gas yang kotor danur yang kadangkala dicemari serpihan daging-daging khinzir dan entah apa-apa najis lagi. Aku akan ke Amerika? Aku akan ke England? Hissh ...!
     Aku tidak tahu apakah aku benar-benar memijak bumi ini atau ia sekadar halusinasi. Tidak tahu bagaimana akan aku ceritakan pada isteri tersayang. Aku percaya semuanya ini bukan untukku tetapi pasti Allah berikan pada isteriku. Dia wanita yang amat mulia, solehah, bijak, rajin, taat pada suami, seorang ibu yang penyayang dan teman setiaku - dialah yang mendoakan semuanya ini.
     Suatu pagi selepas solat Subuh dia membisikkan padaku, “Abang, Mas mimpi kita akan pergi ke Kentucky, Amerika.” Aku sekadar tersenyum. Tapi aku tahu dia tidak pernah bermimpi dalam tidurnya dan kalau dia bermimpi; pasti mimpinya itu akan menjadi kebenaran.
     Lantas, pada bulan Disember 1997 aku pun memijak kakiku di bumi Kentucky bersama isteri tersayang dan tiga anak gadisku, Mahiran (8 tahun), Maryah (6 tahun) dan Marinah (4 tahun). Tidak ada manusia Melayu di situ yang belajar di situ hanya rakan-rakan pelajar daripada Tanah Arab: Arab Saudi, Yaman, Kuwait, dan Emiret Arab.
     Tahun 1997 itu pula adalah tahun gawat bagi negara: kebanyakan biasiswa ke luar negara telah disekat, tetapi tidak pula sekatan itu terkena padaku. Ada juga seorang rakan yang menghantar e-mel padaku mengatakan bahawa aku akan diminta kembali semula ke Malaysia. Aku tersenyum sahaja membaca e-mel itu kerana begitulah hati nurani manusia Melayu ketika melihat rakannya memanjat kejayaan.
     Setelah tiga bulan aku di Kentucky, seorang gadis Amerika telah datang ke rumah bertemu aku dan isteri untuk bertanyakan tentang program ‘Forestry’ di UPM kerana dia tahu aku adalah bekas graduan di situ. Dia amat meminati bidang itu kerana bapanya adalah botanis di universiti tempat aku belajar.
     Aku amat bangga kerana katanya itulah program perhutanan yang terbaik yang pernah dia baca. Namun aku terus katakan padanya bahawa dia harus mempelajar bahasa Melayu kerana itulah bahasa pengantar bagi program Sarjana Muda di UPM. Dia menjadi gusar dan aku dapat melihat kegusaran itu di wajahnya.
     “Don’t worry Sara. I will teach you Malay language and I believe you don’t have any problem to master it.” Sara dengan pantas tersenyum. “Oh thank you very much. When would we start?”
     Sara sebenarnya ialah pelajar terbaik di High School di bandar tempat aku belajar. Aku tidak tahu sangat tentang latar belakangnya, kecuali setelah beberapa bulan dia menjadi pelajarku. Dia akan datang ke rumahku seminggu dua kali, ketika sebelum Maghrib. Ketika itu juga dia akan melihat aku sekeluarga bersolat, kemudian kami akan mengajak dia makan malam bersama-sama kami sebelum aku mulakan kelas Bahasa Melayu. Kadangkala dia juga berkesempatan mendengar isteriku membaca Quran dan anak-anakku yang masih bersekolah rendah mengaji Quran.
     Aku tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku pada Sara di belakangku.  Setelah tiga bulan dia mempelajari Bahasa Melayu daripadaku, dia sudah boleh berkomunikasi untuk bertanya itu dan ini, dan seringkali kaya dengan ucapan “Selamat petang”, “Apa khabar?” “Sudah makan atau belum?” “Hari ini Kakak Mas masak apa?” “Saya suka cucur udang.” “Sedap sungguh masakan kakak.” Aku rasa berjaya dan amat bangga dengan kebolehan Sara itu.
    Pada suatu hari bapa Sara datang ke rumahku bersama-sama isterinya bertanyakan tentang  Sara dan di mana dia.  Dia mengeluarkan senapang seperti mahu menembakku dengan wajahnya yang lewah dengan kemarahan. Aku tidak faham, apa yang mahu dimarahinya dan apakah kesalahan yang telah aku lakukan.
     Dengan tenang aku katakan bahawa aku tidak tahu di mana Sara berada ketika itu. Tetapi Sara telah memberitahu isteriku bahawa dia akan bercuti dua minggu daripada kelas Bahasa Melayu. Itulah juga yang aku ceritakan kepada bapa Sara. Dalam dadaku, aku terus berselawat dan membaca doa-doa yang kutahu supaya lelaki berbadan sasa itu menjadi waras dan tenang.
     Sekonyong-konyong apabila dia melihat anak-anak gadisku yang comel-comel itu, wajahnya terus berubah dan nada suaranya bertukar menjadi lunak.
     “I’m worry, she did not come home for already three days,” katanya padaku. “Please inform me if you know her whereabout.”
     “I promise, I would inform you Mr Houston. There is nothing for me to hide from you. You know that I’m only teaching her my native language, and nothing else. She loves the green and she is very passionate on Malaysian virgin forest,” kataku padanya ketika dia menghirup ‘Golden Tea’ panas Malaysia yang enak bersama-sama dengan karipap panas yang baru digoreng oleh isteriku. Isterinya yang menangis ketika di hadapan pintu rumahku tadi, juga kulihat sudah boleh tersenyum.
     “Don’t worry Madam, Sara is a good girl. She knows what she is doing.” Ibu Sara segera mengangguk-angguk mendengar kata-kataku itu. Aku tahu dia amat sayangkan Sara.
     Selepas itu mereka terus keluar meninggalkan rumahku untuk mencari rakan karib Sara. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh membantu.
     Pada hari-hari selepas itu, hebohlah bahawa Sara telah lari dari rumahnya. Namun aku tahu Sara bukan gadis liar. Pastinya dia bukan lari dari rumah. Pastinya ada rahsia yang aku dan isteriku sendiri tidak tahu. Dia gadis bersopan. Dia pintar dan bijak. Dia amat mudah mempelajari dan atentif dengan apa yang diajar. Dia pastinya amat tahu menghormati ibu bapanya.
     Pada suatu hari, aku masih ingat, petang Jumaat, lima hari setelah heboh Sara hilang, tiba-tiba dia muncul di hadapan pintu rumahku dengan senyum manisnya yang lebar. Aku mula tertanya-tanya, apakah ayah dia tahu kehadirannya.
     Belum sempat aku berkata apa-apa Sara terus berkata padaku, “I’m a Muslim now. I want Kakak Mas to teach me. Please help me. Don’t ask me why. Please help me.”
     Aku terpinga-pinga. Isteriku terpinga-pinga. Apakah yang telah aku lakukan pada Sara dan apakah yang harus aku lakukan? Aku bersyukur dalam ketakutan yang mendidih. 
oleh: Rahmat Ghazali

Tiada ulasan: