Khamis, 30 Jun 2011

Seorang Lelaki Jepun

Kisah benar ini disampaikan oleh seorang rakan sekitar tahun 1998.
       “Betulkah, Kak Azie?” tanya saya antara percaya dengan tidak sebaik mendengar cerita yang disampaikan oleh Kak Azie.
       “Betul. Dan datuk dia pun melakukan perkara yang sama sejak dia muda lagi,” Kak Azie berkata dengan penuh keyakinan.
       “Kalau begitu, semasa datuk dia muda, tentu sekitar tahun 1900 atau lewat 1890-an tu,” balas saya.
       “Boleh jadi juga,” Kak Azie bersetuju dengan kata-kata saya.       
       Kisah bermula apabila syarikat tempat suami Kak Azie bekerja menerima kunjungan seorang tetamu dari negara Matahari Terbit.  Suaminya dan dua lagi kakitangan syarikat telah ditugaskan membawa tetamu berbangsa Jepun itu melawat ke beberapa tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur seperti Muzium Negara, Menara Kuala Lumpur dan Balai Seni Lukis Negara.  Walaupun mereka sering membawa tetamu-tetamu asing bersiar-siar di Kuala Lumpur, tetamu yang mereka terima kali itu agak berbeza sedikit.
       Apa yang menarik tentang lelaki Jepun berusia lewat 60-an itu ialah sebuah buku lusuh yang tidak pernah lepas dari genggamannya.  Walau ke mana saja dia pergi,  malah ke tandas sekali pun; buku itu akan sentiasa dibawanya.  Lelaki Jepun itu juga akan sentiasa mencatat sesuatu ke dalam buku lusuh itu dari masa ke semasa di sepanjang lawatan tersebut.  Dan lelaki Jepun itu turut melekatkan tiket-tiket atau resit yang diterimanya semasa lawatan ke dalam buku itu.
       Perbuatan lelaki itu menimbulkan tanda tanya di kalangan kakitangan-kakitangan syarikat termasuk suami Kak Azie sendiri.  Akhirnya suami Kak Azie menebalkan muka dan bertanya kepada lelaki Jepun itu.
        Jawapan yang diterima agak mengejutkan.  Rupa-rupanya buku yang lusuh itu adalah sebuah diari.  Dan lelaki Jepun itu sebenarnya sedang mencatat peristiwa-peristiwa penting dan menarik yang berlaku ke atas dirinya saat dan ketika itu.  Untuk menjadikan catatannya lebih menarik, dia melekatkan sekali tiket, resit atau apa saja yang berkaitan dengan peristiwa yang dilaluinya ke dalam diari tersebut. 
       Menurutnya lagi, diari itu kelak boleh dibaca oleh anak, cucu dan cicitnya yang mungkin tidak berpeluang datang ke Malaysia.   Dia akan mewariskan kesemua koleksi catatannya kepada anak-anaknya bila dia meninggal dunia sepertimana yang telah dilakukan oleh datuknya dulu.
       Datuk lelaki Jepun itu yang sudah lama meninggal dunia  turut melakukan perkara yang sama ketika  belajar di United Kingdom.   Kini, lelaki Jepun itu sudah ada hampir dua puluh buah diari yang mencatatkan perjalanan hidupnya dari dulu hingga sekarang. 
       Walaupun bukan saya yang bertemu dengan lelaki Jepun itu, kisahnya yang disampaikan oleh Kak Azie betul-betul meninggalkan kesan dalam diri saya.  Saya juga turut kagum.  Bukan mudah untuk melatih dan mendisiplinkan diri bagi melakukan perkara yang dibuat oleh lelaki Jepun itu.  Semangatnya begitu kental dan disiplinnya kuat.  Tidak hairanlah Jepun mampu menakluki Tanah Melayu dengan hanya menggunakan basikal dan kemudian mampu menakluki dunia dengan teknologi mereka yang canggih. 
       Sekiranya bangsa Melayu mempunyai disiplin kuat dan semangat yang kental seperti lelaki Jepun ini, tidak mustahil suatu hari nanti bangsa Melayu mampu menjadi satu bangsa yang disegani.
oleh: Norehan Mohd Nooh

Tiada ulasan: