“Sembahyang Dua Imam di Palong.” Berita itu jadi cerita muka depan Berita Harian pada hari itu. Pada by-linenya tertulis namaku.
Sewaktu rakan-rakan lain heboh memperkatakan bagaimana aku boleh scoop cerita itu, aku menerima panggilan telefon daripada setiausaha orang nombor satu. Beliau diminta oleh bosnya untuk mendapat penjelasan bagaimana aku mendapat maklumat itu.
Aku jelaskan itulah yang diperkatakan orang nombor satu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri semalam.
Aku tegaskan lagi, aku sendiri yang bertanyakan perkara itu selepas orang nombor satu membayangkan perkara itu memang benar terjadi. Kebetulan sebelum itu isu sembahyang dua imam heboh diperkatakan berlaku di Kelantan dan Terengganu.
Aku ingat cerita itu habis di situ sahaja. Sebelum satu majlis rasmi orang nombor satu petang itu, beliau sendiri bertanya padaku.
“Mana kau dapat cerita sembahyang dua imam itu?,” tanya beliau dalam muka selamba biasanya.
“Dato’ yang cakap,” jawabku dalam nada selamba juga.
“Letih aku jawab pertanyaan PM pagi tadi.”
“Pagi-pagi lagi dia dah telefon,” tambahnya.
Aku hanya sempat tersenyum tawar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan