Isnin, 13 Jun 2011

Puan Kaunselor Terhormat

Tuntutan tugas suami yang memerlukannya berpindah dari satu tempat ke satu tempat turut mengheret aku ke dalam kategori kaum Nomad di padang pasir yang sering berpindah-randah.  Namun sebagai penjawat am, masalah bertukar tempat kerja tidaklah serumit mana. 
          Kehidupan yang aku jalani serba ringkas tetapi aku ternyata amat bahagia.  Pagi ke tempat kerja dan bila habis waktu bekerja, aku terus pulang ke rumah.  Membahagikan tugas sebagai wanita berkerjaya, ibu dan isteri bukan perkara mudah.  Namun aku gagahi juga tatkala memikirkan ganjaran yang bakal aku terima dari Allah Taala di kemudian hari.  Kisah aku ini bermula di sebuah pekan kecil di negeri yang dahulunya kaya dengan hasil bijih dan ia berlaku selepas genap setahun aku bertugas di sini.
          Di tempat kerja, aku begitu berhati-hati bila bergaul dengan rakan sekerja.  Prinsip aku mudah, berkata bila perlu, buat kerja yang diamanahkan dan elakkan diri dari mengumpat atau mengata orang lain yang tidak ada kaitannya dengan diriku.  Aku begitu menjaga tatasusila aku di tempat kerja.  Aku mengikut 100% lunas-lunas pergaulan Islam di tempat kerja.  Maka, jika rakan-rakan sekerja mula berkumpul-kumpul dan bakal memulakan sesi “mengumpat”, aku segera melarikan diri.  Aku lebih selesa duduk di meja kerja dan menumpukan sepenuh perhatian pada tugasan aku.
          Tetapi rupa-rupanya dalam diam ada segelintir rakan sekerja yang tidak senang dengan sikap aku ini.
          “Awak, saya ada satu perkara hendak disampaikan pada awak,” kata seorang teman sekerja dengan nada serius. 
          “Macam penting saja.  Apa halnya?,” aku menjawab sedikit terkejut. 
          “Awak tu, cuba-cubalah senyum-senyum pada orang lain,” kata teman ini dengan nada suara seorang kaunselor.
          “Kenapa?  Selama saya bekerja di sini saya asyik bermasam muka sahajakah?  Berdosakah saya jika saya jarang senyum?” Saya bertanya lagi.  Mula timbul rasa tidak puas hati dalam diri saya. 
          “Bukanlah begitu.  Maksud saya, senyum itukan sedekah?” sambungnya lagi.
          “Habis, awak hendak saya tersengih-sengih macam kerang busuk?” jawab saya.
          “Saya bahagia dengan diri saya.  Saya selalu menyiapkan tugasan dan tiada masalah dengan sesiapa.  Jadi apa masalahnya sekarang?”
          “Cuba-cubalah ubah perangai itu,” kata teman ini yang lagaknya sudah berbunyi seperti Puan Kaunselor Terhormat yang berkelulusan sendiri.
          Agak lama juga saya berdebat dengan teman ini.  Pelik saya dibuatnya.  Tindakan saya yang lebih suka menyendiri bagi mengelakkan terlibat dengan maksiat dunia rupanya dijadikan topik perbualan oleh segelintir rakan sekerja. Tidak sedarkah mereka bahawa mereka sudah mencuri masa bekerja untuk mengumpat saya?  Sudah dua dosa yang mereka lakukan hanya kerana ingin berbincang mengapa saya jarang tersengih macam kerang busuk.
          “Imah, kalau kita sibuk jaga hati orang lain.  Siapa pula yang hendak jaga hati kita?” Ayat terakhir saya sebelum saya meninggalkan teman ini bagi mengelakkan situasi tegang yang boleh memalukan diri saya dan juga dirinya.
          Beginilah sikap manusia atau adakah masyarakat kita sememangnya begini?  Mereka tidak boleh melihat orang lain bahagia dan tenang menjalani kehidupan di dunia.  Semoga Allah Taala memberi kesedaran kepada golongan ini yang suka menjaga tepi kain orang.
oleh: Norehan Mohd Nooh

Tiada ulasan: