Khamis, 9 Jun 2011

Polis Nombor Satu Dunia

Isteri sedang membeli sayur di pasar Arndell, Manchester
Waktu itu aku baru beberapa bulan tinggal di rantau orang kerana melanjutkan pelajaran. Sebagaimana di tanah air, aku berpeluang melihat dari dekat perjalanan beberapa pilihanraya umum kerana kerja sambilanku sebagai stringer Berita Harian, di sini juga rupanya tidak ketinggalan.
Waktu itu The Clash of The Titan akan berlaku. John Major bertemu ruasnya, Tony Blair. Oleh kerana calon kawasan tempat tinggalku adalah seorang pendatang Islam  Pakistan aku berkesempatan menyertai siri kempennya walaupun cuma sebagai penonton biasa.
      Bagaimanapun satu pelajaran baru aku dapat di sini. Calon pendatang dari Pakistan itu memberitahu, rakyat bekas negara Komanwel sama haknya di United Kingdom. Malah beliau memberi jaminan, wakilnya akan menjemputku ke pusat membuang undi nanti.
      Kempen terus berjalan. Bahangnya turut aku rasakan. Selain mendengar kempen di persekitaran tempat tinggalku, Cheetam Hill, setiap hari ada saja siaran televisyen yang menunjukkan perdebatan antara calon pemerintah dan pembangkang. Mereka cukup terbuka.
      Oleh kerana seolah-olah berada di negara sendiri, pagi-pagi lagi sewaktu kereta calon lalu-lalang di depan rumah, aku terus menahan salah sebuh daripadanya. Kalau tak silap, aku calon ketiga mengundi di pusat membuang undi di sekolah berdekatan rumah pagi itu.
      Seperti yang aku duga, Tony Blair menang dan sekaligus membenam penguasaan Parti Konservatif beberapa penggal lalu.
      Bagaimanapun hingga sekarang, aku masih rasa bersalah. Tindakan Tony Blair bersama kawan baiknya, George Bush dalam beberapa siri keganasan sebagai polis dunia menyebabkan aku kecewa. Apatah lagi sewaktu Tony Blair turut bersama merobohkan ketamadunan Islam di Iraq, rasa bersalah itu lebih memuncak kerana satu daripada undi yang diperolehi Tony Blair sebagai Perdana Menteri adalah daripada diriku sendiri.

Tiada ulasan: