Ini kali kedua aku mengunjungi Medan yang terkenal dengan Danau Tobanya itu. Kalau dulu datang dengan keluarga, kali ini aku tiba bersama jawatankuasa pengelola Piala Isa. Kami dihadiahkan pakej bercuti tiga hari dua malam sebagai hadiah titik peluh kami menguruskan kejohanan yang mula diberi taraf antarabangsa itu.
Tidak ada yang menariknya Medan pada kunjungan kali kedua itu. Begitu juga dengan rakan-rakan yang sebahagian besarnya pernah ke sana. Oleh kerana itulah pada sebelah malamnya kami duduk di hotel saja. Tidak tertarikpun untuk keluar.
Segala-galanya pun tersedia di hotel. Sebut apa saja.
Bagaimanapun malam pertama itu kami habiskan masa dengan berkumpul di bilik Encik Olan. Kami bermain terup keling dan kadang-kadang main race pula.
Bilik kecil itu sesak. Sebahagian duduk di lantai dan sebahagian pula terpaksa betenggek di katil.
Permainan Khamis cukup menjadi pada malam itu. Boleh dikatakan pada kira-kira dua jam pertama, beliau menang besar. Jika dibandingkan dengan yang lain, Khamis bolehlah dikatakan ahli rombongan yang paling kecil gajinya. Beliau hanya Pembantu Am Rendah.
Malah sewaktu berbual dengannya sewaktu turun di Lapangan Terbang Polonia, Khamis mengaku wang belanja yang dibawanya cukup-cukup saja.
Aku fikir patut juga Khamis menang. Setidak-tidaknya dia dapat berbelanja lebih kerana ini pengalaman pertamanya ke luar negara. Boleh juga dia beli ole-ole untuk anak-anak dan isteri.
Bagaimanapun nilai pertaruhan semakin tinggi apabila diapi-apikan oleh Encik Olan. Bermula dengan pertaruhan bernilai 10 sen, bila hampir tengah malam nilai itu meningkat sehingga RM50. Benar kata orang, judi itu berhantu.
Senyum Khamis tidak putus-putus ketika itu. Bagaimanapun senyum itu mula menipis bila menjelang subuh. Malah sewaktu kami menghentikan permainan untuk solat subuh di bilik masing-masing, Khamis bukan saja tidak mampu tersenyum lagi malah bersedih pula.
Dia kehilangan segala-galanya. Duit belanja yang dibawa hangus oleh kelicikan Encik Olan.
Sebelum keluar dari hotel untuk ke Danau Toba aku mendahulukan RM100. kepada Khamis untuk dibuat belanja. Aku dengar, Ramli, ketua rombongan kami turun membantunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan