Rabu, 1 Jun 2011

Singapura: Tidak Lepas Punya!

Walaupun selalu juga ke Singapura, pemergian aku ke sana kali ini agak berbeza. Kalau dulu naik kenderaan awam tetapi kali ini dengan berkereta.
      Waktu sekolah rendah dulu, aku naik keretapi ke sana untuk bercuti di rumah Pak Lang yang bekerja dengan Tentera British di Clementi Estate. Sewaktu belajar di Johor Bahru pada tahun 1972-1973, atur cara ke Singapura seolah-olah wajib khususnya untuk membeli buah tangan termasuk laici sebelum balik bercuti panjang.
      Bersama-sama dengan teman, aku menggayakan kereta terpakai yang baru aku beli untuk ke sana. Sebagai anak muda yang baru dapat lesen memandu, pengalaman pertama memandu di Singapura amat menyakitkan.
      Paling merisaukan kalau termasuk di jalan terhad – sama ada terhad waktunya atau terhad penumpangnya.
      Beberapa kali aku tersalah jalan sehingga menyongsang arah. Bagaimanapun sebagai anak muda, kami menganggapkannya sesuatu yang thrill. Kami ketawa riang seolah-olah dapat `menipu’ sistem lalu-lintas.
      Walaupun sedar undang-undang di Singapura ketat, kami menganggapnya kata-kata kosong belaka. Kesimpulan itu kami buat kerana sehinggalah kami pulang, tidak ada apa-apa tindakan kesalahan lalu-lintas yang dikenakan ke atas kami.
      Bagaimanapun pemergianku ke Kota Singa bersama keluarga kira-kira lima tahun selepas itu agak mencemaskan. Sewaktu pemeriksaan di Woodlands, aku diminta meletakkan kereta di tempat khas. Seorang anggota polis mengarahkan aku masuk ke pejabatnya.
      Beliau menunjukkan paparan pada skrin komputer di hadapannya. Beberapa fakta mengenai diriku ada di sana. Aku diminta menjelaskan saman sekiranya aku ingin meneruskan perjalanan atau walaupun  ingin berpatah balik ke Johor Bahru.
      Aku tiada pilihan.

Tiada ulasan: