Sabtu, 11 Jun 2011

Facebook Punya Penangan

Aku orang ICT. Sarjanaku bidang Pembelajaran Berbantu Komputer. Bagaimanapun tidak semua kemudahan teknologi ini aku manfaatkan. Sehingga hari ini agaknya cuma sekali dua aku bermain computer games.
     Sewaktu orang sibuk bercakap mengenai laman beborak, selera aku juga tidak terbuka. Facebook (FB) yang mengganas sehingga anak bongsuku, Siti Adibah yang masih berusia tujuh tahun tahu mengendalikannya, aku juga tidak mengendahkannya. Agaknya kesibukan kerja, membuat aku begitu.
    Bagaimanapun hanya pada 1 Jun lalu (seminggu lalu), sewaktu ditinggalkan sendirian oleh isteri dan anak-anak ke tanah suci, aku mula meneroka sendiri. Fantastik! Perisian ini cukup mudah, sama seperti Blogger yang pertama kali aku gunakan sehari sebelumnya.
      Apa lagi, mulalah aku cari murid, pelajar dan rakan lama. Seronok – aku bertemu kembali murid di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin, Sekolah Teknik Tuanku Jaafar dan Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar. Menarik juga, aku dapat berinteraksi kembali dengan rakan kerja sama ada di tempat kerja rasmi atau sewaktu aku membuat kerja sambilan sebagai stringer.
   Aku cuba manfaatkan FB untuk menarik friends ke blog ini. Bukan mudah membangun blog yang boleh menarik pengikut. Jadi, selain waktu siang, sekembalinya dari berjemaah maghrib dan isyak di masjid, aku terus mengadap komputer.
     Aku betul-betul jadi hamba komputer. “Patutlah anak aku  Siti Atiqah tidak akan membiarkan waktu terluang mengadap komputer apabila balik cuti dari asrama,” getus hatiku. Aku turut terkena candunya.
     Aku cuba seboleh-bolehnya mengemaskini FB itu beberapa kali sehari. Aku tak mahu rakan tertunggu-tunggu. Tentunya juga, ia terangsang apabila rakan-rakan yang kini sudah jadi orang besarpun turut menghantar mesej. Antara yang aku hargai mesej Datuk Mior Kamarul Shahid, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd. Mior aku kenali pada zaman stringer dulu.
      Sejak dulu, Mior memang begitu. Ramah dan tinggi budi bahasanya. Jarang aku lihat Mior melenting. Begitu juga mesej Noraini Ismail, Ketua Biro Berita Harian, Seremban dulu. Kalau Noraini ada Kongsi Rasa, aku Kongsi Cerita.
      Dipendekkan cerita, sambil menunggu isteri dan anak-anak di KLIA pada senja 8 Jun lalu, aku cuba memanfaatkan Nokia Music Expressku. Ah! Tidak selesa rupanya untuk melayari internet apatah lagi terpaksa menjawab beberapa soalan sewaktu talian hendak disambungkan.
     Bagaimanapun oleh kerana candu FB telak melekat, aku ignore sahaja beberapa arahan. Aku nak cepat kemaskini maklumat.
   Keesokan paginya aku pelik, talian telefonku telah disekat. Dan akhirnya aku menerima jawapan bil melebihi had.
    Sejak bersara ini, bil bulanan hanya sekitar RM30.00 tetapi perkhidmatan internet yang aku gunakan sekitar 30 minit, aku dikenakan RM246.21. Padan muka aku!

Tiada ulasan: