Halaman

Ahad, 19 Jun 2011

Budak Serting Yang Kutemui di London


Seperti sering kutemui di Seremban, Shahhilan juga begitu sewaktu kutemui di Malaysia Hall, London pada suatu pagi musim luruh. Aku tidak sangka, kami bertemu di situ setelah bertahun-tahun tidak bersua muka. Shahhilan rakan sesama stringer.
       “Bila sampai warih?,” sifat keterujaannya yang tinggi, manifestasi kuatnya ikatan persahabatan kami berdua.
        Tubuhnya tidak berubah - kurus, kecil dan kecil juga jumlah rambut di kepala.
       “Berapa hari di London?,” keterujaannya masih tinggi tapi soalan-soalan yang tidak terarah selepas itu mula mengundang kecurigaanku. “Lalok,” getus hatiku.
       Begitulah yang sering diadu oleh rakan-rakan lain apabila memperkatakan Shahhilan. Sifat cincai dan selambanya kadang-kadang menjengkelkan - memalukan profesion kewartawanan. Mengapa tidak? Dia gemar benar cuma berkemeja `T’ sewaktu ke assignment. Seluarnya, jeans lusuh.
       “Boleh aku pinjam kamera video kau? Aku ada projeklah. Nanti aku datang jemput di Manchester,” katanya sambil menghabiskan sisa-sisa makanan di pinggan.
       Seperti di Seremban, Shahhilan sering tidak menepati janjinya. Hinggalah aku pulang ke Malaysia, dia tidak pernah bertandang.
       Hendak dikatakan sibuk belajar, dia mengaku sudah lama berhenti. “Aku kerja dengan syarikat forwarding,” katanya terus-terang. Itu sifat positifnya yang paling nyata, - berterus-terang walaupun akan menyusahkan dirinya kemudian hari.
       Setahu aku dia pinjam duit Yayasan belajar perfileman. Bidang yang dipilih adalah penerusan minat kewartawanannya. “Tok Isa yang tolong. Tapi duit Yayasan tu tak cukup untuk hidup di London warih. Patah kandar dibuatnya,” ceritanya berterus-terang lagi.
       Hanya apabila aku bertemu dengannya semula setelah pulang, aku dapat cerita sebenar. “Sebenarnya duit yang Yayasan beri itu, kawan aku pinjam. Tak pulang-pulang sampai sekarang. Itu sebab aku tak bayar yuran universiti. Bila tak bayar, siapa hendak ambil belajar!,” katanya jujur yang menyebabkan kami berdua ketawa berdekah-dekah.
       Kami terus semakin rapat dan berkongsi syarikat – Image & Sound Craft. Pada masa yang sama jejaka terlajak umur ini dipinang gadis jelita yang masih muda. Anak Ustaz lagi.
       Hijrah. Shahhilan menurut jejak Rasul. Bersama-sama isteri dan anak sulung, mereka ke Kuala Lumpur membangun kerjaya. Aku bangga, namanya tercatat sebagai Editor Berita akhbar Mingguan Watan yang diterbitkan kembali. Bila Mingguan Watan tidak terbit lagi, credit titles namanya  aku lihat di TV1 pula. 
       Dua minggu lalu aku bertemunya di Gerai Jalan Penghulu Cantik, Seremban. Dia yang telefon aku untuk bertemu. Wajahnya penuh ceria.
       “Warih! Aku ingat hutang aku. Sesiapa yang berhutang, tidak akan ke syurga walaupun dia mati syahid di medan perang,” katanya bersemangat.
       Ah! Memang dia sudah jauh berubah.  Segala-galanya positif kini.
      “Sekarang ini cuma sehari aku kerja di RTM. Hari lain aku berniaga warih! Berniaga nasi lemak di Putrajaya.
       “Jadi, aku datang ni nak minta tolong kau. Kalau ada sesiapa hendak buat jamuan, kau rekomenkan aku. Peralatan masak dan katering dah ada. Benar kata agama, sembilan daripada 10 rezeki itu datangnya daripada berniaga,” juga dalam nada penuh bersemangat bagai seorang motivator ternama.
       Aku menarik nafas syukur dan terdetik pula di hati. “Bertuah Shahhilan! Walaupun jauh lebih muda, anak Ustaz itu bukan sahaja mampu memberinya zuriat tetapi mampu melahirkan Shahhilan baru.”
       Tanpa disedari, terasa suamnya air jernih mengalir di pipi.
  
Catat Ulasan