Rabu, 15 Jun 2011

Shit

1957. Tahun aku menjejakkan kaki ke alam persekolahan rendah. Aku bermula di Sekolah Umum Salak Nama. Sekolah yang melahirkan pemimpin politik negeri seperti Mokhtar Hashim, Ahmad Apandi Johan, Mohd.Noh Rejab dan lain-lain. 
     Ketika Darjah 1, guru kelas, Cikgu Daud mengajar semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris dan Agama Islam. Guru Bahasa Inggeris, Peter Verappan dan guru Agama Islam, Ustaz, digelar ‘Long Loceng’ mengajar seramai 28 orang murid. Suatu hari Cikgu Daud mengajar Bahasa Melayu, semua murid duduk bersila di hadapan kelas, hampir dengan papan hitam. 
     Cikgu Daud bersuara lantang mengajar bahasa, tiba-tiba mengemukakan soalan kepada Sallehuddin Samad. 
     “Salleh apa jenis perkataan ini?” tanya Cikgu Daud sampai menunjuk perkataan ‘bunga’ di papan hitam. 
     Sallehuddin bisu seribu bahasa. Dia kelihatan gelisah. Air muka pucat, batang hidung berpeluh dan tidak bergerak. 
     “Salleh berak, cikgu,” tiba-tiba seorang murid yang hampir dengannya bersuara. Murid-murid lain bangun sambil menutup lubang hidung masing-masing. 
     1975. Tahun aku berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Tanjung Pamun, Pahang. Sekolah pertama, aku berkhidmat sebagai guru. Sekolah yang terletak  di kuala Sungai Triang masuk ke Sungai Pahang. Pertemuan Sungai Triang dengan Sungai Pahang. 
     Suatu hari, jam 12 tengah hari, aku mengajar mata pelajaran Ilmu Alam pada murid-murid Darjah 4. Semua murid duduk di kerusi masing-masing. Murid membaca teks seorang demi seorang. Akhirnya, aku mengemukakan soalan kepada seorang murid bernama Alias kerana dia kelihatan gelisah dan tidak menumpukan perhatian. 
     “Kamu faham Alias,?” aku tanya Alias.” Bangun,” arahku tegas. Alias tetap duduk melekat di kerusinya. Alias tidak bergerak. 
     “Alias berak cikgu,” tiba-tiba seorang murid yang hampir dengannya. Murid-murid mula menutup hidung dengan dua jari. Jari ibu dengan jari telunjuk. Baunya mula semerbak ke seluruh kelas. 
     “Semua orang bangun dan keluar kelas,” perintahku. “Alias, basuh dan bersihkan kelas ini. 
     1995. Tahun aku berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka. Aku ditugaskan mencerap latihan praktikum guru pelatih di Sekolah Kebangsaan Ganun, Alor Gajah, Melaka. 
     Aku mencerap guru pelatih mengajar Bahasa Melayu pada murid Tahun 3 sekolah tersebut. Aku lupa nama guru pelatih tersebut. Jadualnya dari pukul 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. 
     Aku, tepat jam 9.30 pagi, sudah berada di bahagian belakang kelas. Aku duduk di kerusi yang sudah disediakan bersebelahan dengan murid-murid. Tepat jam 10.15 pagi, ketika murid-murid membuat latihan bertulis, aku tergerak hati meninggalkan kelas tersebut. 
     Aku menunggu guru pelatih tersebut ke bilik guru untuk memberi komen. Kebiasaan, aku akan mencerap di kelas dari minit pertama hingga minit terakhir. Tetapi hari itu aku meninggalkan kelas 15 minit lebih awal. 
     “Nasib baik, cikgu keluar awal tadi,” tiba-tiba guru pelatih yang aku cerap bersuara apabila masuk ke bilik guru. 
     “Mengapa pula?” tanya aku hairan. “Murid yang duduk sebelah cikgu tadi, berak dalam kelas,” jelas guru pelatih itu. 
     “Apa?” tanyaku. “Nasib baik aku keluar awal tadi,” kata hatiku. “Siapa yang cucikan budak itu?,” tanyaku lagi. 
     “Datuk dia. Datuk dia datang hantar makanan pada waktu rehat,” terang guru pelatih itu lagi. “Nasib baiklah sebelum rehat. Kalau lepas rehat macam mana?” guru pelatih itu ketawa kecil. 
     Semua guru pelatih yang ada ketawa.
oleh: Mohamad Haji Abd Ghani

Tiada ulasan: