Isnin, 6 Jun 2011

Buat Kita Yang Amat Pelupa




Pix: Leong Weng Onn (NSTP)

Bagaimana kalau bapaku menjadi seorang yang amat pengingat?
Dia pasti tidak memarahiku kalau malas ke sekolah dulu
Kerana menurut nenekku
Bapaku hanya dua minggu menjejak tangga sekolah
Puncanya?
Kuku panjangnya diketuk guru.

Bayangkan kalau pensyarahku juga seorang yang amat pengingat
Dia tentunya juga tidak ambil pusing kalau pelajarnya ponteng
Kerana menurut rakannya yang kemudiannya jadi rakan sekerjaku
Pensyarahku juga begitu sewaktu di U dulu.
Kadang-kadang amat baik menjadi seorang pelupa.

Reporter tentu tidak mahu menulis lagi
Kalau storynya sentiasa dinafi
Businessman tentu tak mahu berniaga lagi
Kalau hanya ingatkan rugi
Untunglah mereka orang yang pelupa.

Bayangkan apa akan terjadi
Kalau orang politik menjadi seorang yang amat pengingat
Peruntukan lima tahun pasti hangus dalam tempoh lima hari
Bagi yang pelupa, di sana-sini hartanya lima tahun lagi sebelum disarakan
Nah! Bahaya sekali menjadi sang pelupa.

*Tuan/ Puan

Di sini Sang Pencerita ingin berpesan
Kalau periuk belanga mahu diterbangkan\
Ingat kembali
Malam pertama perkahwinan.


      Sajak ini aku baca pada Malam Akhbar yang dihadiri Menteri Besar, Exco dan kesemua wakil rakyat. Sebagai Timbalan Presiden Kelab Akhbar yang baharu kami tubuhkan, aku turut diminta membuat persembahan pada malam yang bertujuan mewujudkan hubungan akrab media dengan kepimpinan negeri yang baru saja dipilih. Tukang aturnya tentulah Setiausaha Akhbar Menteri Besar yang baharu dilantik. Kebetulan Shariff Ahmad, kawan baik kami sendiri, bekas wartawan.
      Aku melihat sebahagian besar hadirin termasuk Menteri Besar ketawa terbahak-bahak mendengar bacaan sajakku itu melalui rakaman video yang masih tersimpan ke hari ini.
      Bagaimanapun yang terkesan, (harap-harap aku silap) beberapa tahun kemudian aku merasakan `hubunganku’ dengan mereka agak berbeza. Hendak dikatakan tidak mesra, mesra juga tetapi suam-suam kuku sahaja.


* Rangkap ini biasanya Sang Pencerita akan ubahsuai mengikut majlis.
Contoh: Majlis Temu Kembali DTCJB/ 1972-1973 di Kota Bharu, Kelantan
Abe kakok
Lo ni hambo nak ghoyak
........ (tambah sendiri)

Tiada ulasan: