Rabu, 1 Jun 2011

Duda Kaya


Budak itu kini pelajar tahun tiga di UniKL MICET dalam bidang http://10.10.14.22/index.php/courses/bachelor/bachelor-of-chemical-engineering-technology-hons-in-food
Itu kali pertama aku berpeluang naik business class. Penerbangan terus  Subang-Heathrow yang akan mengambil masa kira-kira 14 jam. Di Heathrow nanti aku terpaksa melalui satu lagi penerbangan. Penerbangan domestik Heahtrow-Manchester.
      “Bertuahnya rakyat Malaysia,” fikirku. “Nak pergi belajarpun, kerajaan beri tiket business  class.”
      Aku tidak keseorangan dalam penerbangan itu. Di samping Mohd Zulkifli Maulud, rakan sekerjaku, kami ditemani Siti Atiqah, anak keduaku yang masih berusia sembilan bulan.
      Isteriku telah pergi sebulan lebih awal, juga untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang sama, The University of Manchester.
      Pada mulanya risau juga aku bagaimana hendak mengendalikan Siti Atiqah sepanjang perjalanan 14 jam itu. 14 jam bukan pendek. Entah berapa kali kena bancuh susu nanti. Entah berapa kali kena tukar lampin pula. Itu tidak termasuk berhadapan dengan rengekannya. Maklumlah baru sembilan bulan.
      Tidak tahulah! Agaknya begitulah layanan yang diterima sebagai penumpang business class. Bukan sahaja aku tidak perlu buat susu dan tukar lampin, seorang demi seorang pramugari berebut untuk bermain dengan Siti Atiqah.
      Lambat sahaja mendengar tangisannya, melurulah mereka. Siti Atiqah akan didukung dan sesekali dibawa ke tempat duduk mereka serta diberikan permainan.
      Turut menarik, bukan sahaja aku tidak perlu menjaga Siti Atiqah malah makanan yang dihidangkan juga berbeza dengan apa yang selalu aku terima di kelas ekonomi. “Ada sate geng!,” usik Zul sambil membetul-betulkan tali leher dan kotnya.
      “Hebat juga kita ya?” Zul yang masih tidak percaya layanan sehebat itu sambil tersengih.
      Memang kami nampak gagah ketika itu. Kot dan tali leher yang dipakai sejak dari rumah tidak pernah lekang dari badan. Mungkin kami menerima kejutan budaya kerana itulah pengalaman pertama mendapat layanan VIP.
      Sewaktu hendak ke tandas malam itu, aku terdengar gurauan sesama pramugari yang bermain dengan Siti Atiqah.
      “Layan budak ni baik-baik. Mana tahu! Ini anak duda kaya.”

Tiada ulasan: