Khamis, 16 Jun 2011

Sudah Begitu Kehendaknya

Aku sebenarnya agak lewat berkahwin. Ramai di antara rakan sekolah, rakan sekampung dan rakan sebaya dengan aku telahpun berumah tangga dan sebahagian daripada mereka telahpun mendapat cahaya mata. Abang-abang serta kakak-kakakku juga telah berkahwin dalam usia yang lebih awal daripada usia aku ketika itu.
Malah satu-satunya adik lelakiku yang bongsu   (lima tahun lebih muda daripada usiaku) juga  sudah berkahwin dan sudah mempunyai seorang anak.  Tapi, aku sendiri masih lagi bujang trang tang tang ataupun mungkin juga sesuai dipanggil bujang terlajak (pada ketika itu) oleh kaum keluarga dan juga orang-orang kampungku.
Bila aku balik ke kampung, ramai yang bertanyakan soalan-soalan seperti “Bilakah aku akan ke jinjang pelamin?”, “Si polan tu dah ada anak, kau bila lagi?” dan bermacam-macam lagi soalan yang ‘sewaktu dengannya’. Di sebabkan situasi aku seperti itu, maka wujudlah kelompok-kelompok yang ingin menjodohkan aku dengan ‘calon-calon’ pilihan mereka. Dan kelompok-kelompok itu kebanyakannya terdiri daripada kalangan kaum keluarga aku sendiri.
Selain daripada kelompok-kelompok seperti itu, wujud juga kelompok yang suka membuat aktiviti `buruk sangka’ dan bermulut laser. Kelompok seperti ini sering  membuat andaian yang bukan-bukan dan  tuduhan-tudahan liar yang boleh menyakitkan hatiku apabila mendengarnya. Sebagai contoh, ada yang berani mengatakan bahawa aku adalah “cikgu yang selekeh dan justeru itu tak ada anak dara yang ‘sukakan’ aku”. Sakit juga telinga dan hatiku bila ‘ayat-ayat laser’ seperti itu sampai ke gegendang telingaku.
Walau bagaimanapun aku tidak boleh menyalahkan mereka seratus peratus kerana aku sendiri tidak pernah menceritakan atau memberitahu mereka kisah ‘percintaan’ aku yang sebenar-benarnya. Ya sesungguhnya, aku memang tidak pernah memberitahu atau menceritakan kisah percintaan aku walaupun kepada ibu bapa dan adik beradik aku sendiri. Cuma segelintir daripada rakan karibku sahaja yang pernah mendengar kisah itu terus dari mulutku sendiri.
Justeru itu, mereka tidak tahu berapa ramaikah gadis yang ‘sukakan’ aku, berapa kalikah aku pernah berkasih atau bercinta, berapa kalikah aku pernah putus cinta disebabkan aku ‘ditinggalkan’ kekasih dan berapa kalikah aku putus cinta disebabkan aku sendiri yang ‘meninggalkan’ kekasih.
Kalau hendak dihitung kesemuanya (iaitu episod ‘ditinggalkan’ dan ‘meninggalkan’ kekasih), memang agak banyak juga jumlahnya. Sebahagian daripada  episod ‘ditinggalkan’ dan ‘meninggalkan’ kekasih itulah yang menjadi pemangkin atau penyebab kepada kelewatan aku mendirikan rumahtangga. 
Mungkin ada yang menganggap aku ni playboy yang suka bertukar-ganti kekasih. Tapi percayalah, aku bukan spesis seperti itu. Banyak sebab dan faktor yang menjadi pemangkin kepada episod aku ‘ditinggalkan’ kekasih dan aku ‘meninggalkan’ kekasih. Kisah aku ‘ditinggalkan’ kekasih dan juga kisah ‘meninggalkan’ kekasih ini mungkin akan aku paparkan di suatu hari nanti. Tungguuu…!
Selain daripada ‘jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan’, mungkin keseriusan aku dalam beberapa hobi yang sangat aku minati juga turut menjadi penyumbang ke arah kelewatan aku ke alam berumahtangga.  Kadang-kadang disebabkan keseriusan dan terlalu komitted dengan hobi-hobi berkenaan menyebabkan aku terlupa atau sengaja melupakan aktiviti –aktiviti lain termasuk aktiviti yang melibatkan percintaan.
Satu daripada hobi aku yang agak tinggi tahap keseriusan dan komitmennya (semasa aku bujang trang tang tang) ialah aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan arus elektrik yang dijana dari enjin ataupun generator. Aku rasa, akulah di antara orang yang terkedepan atau di antara pelopor yang popular dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang ini di Negeri Sembilan. Disebabkan aktiviti aku yang agak melampau itu, maka aku rasa sudah berlori-lori ikan di sungai telah terkorban.
Ingin juga aku nyatakan di sini bahawanya disebabkan aktiviti inilah aku nyaris menemui ajal. Pernah sekali aku terkena kejutan elektrik yang maha dahsyat yang boleh menyebabkan kematian. Syukurlah, kerana Tuhan masih sayangkan aku dan memberi aku peluang untuk terus hidup. Kalau tidak aku juga turut juga terkorban sebagaimana ikan-ikan telah terkorban.
Aktiviti yang kedua dan tinggi juga tahap keseriusan dan komitmennya ialah aktiviti memburu khususnya memburu ayam hutan di dalam ladang kelapa sawit. Minat ini bermula apabila aku mengajar di sebuah sekolah dalam Felda di Daerah Jempol Negeri Sembilan di mana aku dapat melihat banyak ayam hutan yang berkeliaran. Kebetulan pula pada masa itu,  arwah ayahku mempunyai selaras senapang patah.
Dengan segala daya usaha dan kudrat yang ada, aku telah berusaha keras untuk mendapatkan lesen senjata api dari pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia. Akhirnya aku berjaya memperolehi lesen yang diidam-idamkan, dan bermula dari saat itu berlakulah episod-episod pemburuan di dalam ladang kelapa sawit dan kadang-kadang ‘curi-curi’ memburu di dalam hutan. Kerana aktiviti ini jugalah aku nyaris-nyaris tertembak ataupun ‘terbunuh’ orang yang tak berdosa. Syukurlah kerana sekali lagi Allah telah menyelamatkan nyawa orang tu dan mungkin juga nyawaku sendiri.
Selain daripada keseriusan dan keterlanjuran aku dalam kedua-dua hobi seperti di atas, kebetulan pula kesemua kelompok yang merancang untuk ‘menjodohkan’ aku dengan ‘calon-calon’ pilihan mereka juga tidak ada satupun yang berkesampaian. Disebabkan kegagalan mereka dalam usaha ‘menjodohkan’ aku, maka bertambahlah bilangan atau jumlah ‘ketidakjadian’ aku dalam soal perkahwinan dengan begitu signifikan sekali.
Walau bagaimanapun, aku tidak bercadang untuk memberitahu jumlah sebenar ‘ketidakjadian’ itu melalui ruangan ini. Jika ada yang berminat untuk mengetahuinya, boleh mengira sendiri dari kisah-kisah yang akan saya paparkan dari masa ke semasa suatu hari nanti.
Sebenarnya, sebelum aku berkahwin dengan isteri aku yang pertama (iaitu isteri aku yang masih kekal abadi hingga sekarang), pernah beberapa kali aku terjerumus ke alam percintaan dengan beberapa orang gadis lain terlebih dahulu. Kisah hubungan cinta aku dengan gadis-gadis itu terjalin dengan pelbagai cara dan akhirnya  terputus juga dengan pelbagai cara. Dalam perkataan lain, hubungan  itu tidak berakhir seperti yang diidam-idamkan iaitu tidak berakhir ke jinjang pelamin.
Ada di antara hubungan percintaanku itu yang telah terjalin agak lama dan telah membuahkan kasih sayang serta keintiman yang tinggi nilai estetika dan nilai efektifnya. Sebaliknya, ada juga hubungan yang agak singkat dan tidak memberikan apa-apa kesan buruk terhadap perjalanan dan kesinambungan hidup aku seterusnya.  
Namun apa yang jelas, kesemua hubungan percintaanku itu tidak berakhir seperti yang diharapkan kerana telah terhalang oleh faktor-faktor semulajadi, faktor-faktor persekitaran dan faktor hobi yang keterlaluan.. Kesemua yang telah berlaku itu  menjadikan aku benar-benar insaf dan yakin bahawa ‘jodoh itu di tangan Tuhan’. Bahawa sesungguhnya apa yang terjadi  pada diriku adalah suatu suratan takdir dan berlaku di atas kehendakNya.
oleh: Md Said Bidin

Tiada ulasan: