Ahad, 12 Jun 2011

Tahi Burung

Sewaktu bertugas malam menjaga keselamatan taman perumahan, aku mencadangkan kepada rakan-rakan untuk memanfaatkan waktu dengan lebih bermakna. Sesi ini panjang – dari jam 12.00 tengah malam hingga jam 3.00 pagi.
     “Daripada kita bercerita pasal politik yang entah di mana hujung dan di mana pangkalnya, lebih baik kita bercerita yang boleh mendatangkan pahala. Geng! Kita dah hujung ni,” aku memberi saranan dan diterima pula oleh semua dengan hati terbuka.
     “Sebelum kita membaca kitab mulai minggu depan, apa kata kita brainstorming bagaimana hendak mengajak jiran-jiran berjemaah di masjid?”
      “Setuju!” Memang jiran-jiranku di Taman Pinggiran Golf ini baik-baik belaka. Rosli, Zainal, Khalid, Kamarul dan Nazri sedar, imej Masjid Kariah Paroi Jaya perlu terpelihara. Mereka bersetuju, masjid ini bukan bertaraf kariah tetapi bertaraf kebangsaan.
       Mana tidaknya. Masjid ini bukan sekadar digunakan oleh penduduk setempat malah peminat setia bolasepak seluruh negara. Masjid ini terletak di atas tebing Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
       Isu pertama yang dibincangkan apa punca masih ramai penduduk Taman Paroi Jaya, Taman Pinggiran Golf, Taman Golf Heights dan PJ Perdana tidak berjemaah di masjid.
       Maka keluarlah pelbagai alasan dan cara penyelesaiannya.
   “Aku dengar orang tidak suka ke masjid kerana jawatankuasanya. Mereka bertindak secara elit – siap dengan baju korporat,” kata Zainal, pegawai bank.
       “Apa pula kena-mengenanya baju korporat dengan tidak datang ke masjid?,” tingkah Khalid yang bertugas di Angkasapuri. Zainal tidak menjawab.
       “Saya tengok jemaah sudah semakin ramai. Waktu subuhpun sampai lima saf – satu saf lebih kurang 40 orang,” celah Rosli, pegawai polis.
      “Tak cukup lima saf. Di Paroi Jaya ada 1,996 rumah. Pinggiran Golf dan Golf Heights lagi,” aku pula mencelah.
       “Saya rasa ini berkaitan dengan didikan. Sebab itu kita perlu asuh anak-anak kita mendekati masjid sejak kecil,” Rosli meningkah.
      Aku setuju pendapat Rosli. Dia mungkin bercakap berdasarkan pengalamannya. Aku dapat menjangka, anggota keselamatan yang bertugas di Bukit Aman ini mendapat asuhan yang baik keluarganya. Dalam kesibukannya yang berulang-alik setiap hari, dia masih ada waktu bekejar ke masjid untuk berjemaah. Pembonceng setianya - dua anaknya yang masih bersekolah rendah.
     “Bukan saya tidak suka ke masjid. Sejak saya terkena tahi burung sewaktu sujud, saya ke masjid untuk sembahyang Jumaat sahaja,” tiba-tiba  Kamarul mencelah, berterus-terang.
     “Saya tidak boleh terima keadaan ini,” tegasnya jujur. Kami saling berpandangan.
     Tahi burung?    Ah! Kerana tahi burungpun orang tak mahu ke masjid. Bagaimana agaknya kalau diajak untuk ke Perang Uhud atau Perang Khandak? Aku bungkam.

Tiada ulasan: