Rabu, 1 Jun 2011

Jutawan Plastik

Sewaktu sering ke pasar atau pasar raya; buah-buahan, ikan atau apa saja yang aku beli hanya dibungkus dengan kertas oleh pekedai-pekedai di Birmingham ketika itu. Pada mulanya aku berasa pelik juga. ”Sudah maju tapi masih guna karung kertas,” getus hati kecilku.
      Sewaktu mengajukan pertanyaan itu kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana, aku difahamkan Mat Saleh England sangat menghargai alam sekitar. Mereka tidak mahu menggunakan plastik kerana menurut mereka ia boleh mencemarkan – umur hayat plastik cukup panjang kalau ditanam.
      Tidak mahu percaya dengan alasan itu, aku cuba mencari kemungkinan lain mengapa mereka tidak mahu menggunakan plastik. ”Ha! Mungkin mereka tidak ada ubiyu (sejenis ubi kayu), salah satu bahan utama untuk membuat plastik,” aku membuat kesimpulan.
      Mungkin kerana ada juga sifat berniaga dalam diri, suatu hari aku nyatakan hasratku untuk mengeksport plastik kepada seorang peniaga berketurunan Pakistan sewaktu ke kedainya.
      Aku katakan kepadanya Malaysia banyak kilang plastik. Aku boleh bertindak sebagai pengeksport dan beliau boleh bertindak sebagai pembekal tunggal di England.
      Kalau mahu menjimatkan kos, aku mencadangkan kepadanya pula supaya beliau membuka kilang plastik dan aku menjadi pembekal bahan mentahnya (waktu itu ubiyu banyak ditanam di Malaysia).
      Lelaki separuh umur itu juga tidak yakin dengan cadanganku. Katanya Mat Saleh di England bersifat konservatif. Mereka sukar berubah. Faktor alam sekitar hanya alasan.
      Berdasarkan pernyataan peniaga berketurunan Pakistan itu, idea aku itu tenggelam begitu sahaja sehinggalah aku menjejak kaki kembali kira-kira 10 tahun kemudiannya.
      Sewaktu datang untuk belajar peringkat sarjana, aku lihat semua kedai telah menggunakan plastik; tidak karung kertas lagi.
      Kalaulah lelaki Pakistan itu dulu bersetuju dengan cadanganku, kami sudah jadi jutawan kini. Jutawan plastik.

Tiada ulasan: