Sejak sekian lama aku memang memandang tinggi terhadap mereka yang mempunyai latar belakang keagamaan. Bukannya taksub. Secara mudahnya aku sering merumus, takkan ustaz berbohong.
Oleh sebab itu aku tidak berfikir panjang apabila diajak berkongsi menguruskan perniagaan Kursus Praperkahwinan. Perniagaan itu difikirkan viable kerana tidak ada persaingan. Itulah pertama kali Jabatan Agama Islam Negeri mewajibkan setiap pasangan yang hendak berkahwin perlu lulus Kursus Praperkahwinan. Sesiapa yang ada sijil, tidak akan ditanya banyak sewaktu hendak bernikah.
Sebenarnya rakan kongsiku ini baru bersara daripada jabatan yang mengeluarkan lesen. Mungkin memikirkan tidak wajar dia sendiri yang memohon lesen itu, aku dan seorang lagi kawan diajak berkongsi. Kongsi pun atas nama saja. Aku dan kawan yang seorang lagi masih kakitangan kerajaan. Jadi syarikat itu tertulis namanya sahaja. Aku yang menguruskan penubuhan syarikat dan kawanku yang seorang yang mendapatkan lesen.
Pada peringkat awal, seronok juga menguruskan perniagaan itu. Kerja aku mudah sahaja – mempengerusikan setiap sesi penceramah undangan. “Bagus juga,” getus hatiku. “Dapat juga memperkemaskan pengetahuan menguruskan rumah tangga.”
Setelah berjalan beberapa bulan, perniagaan itu terus berjalan lancar sehinggalah timbul cerita akaun sebuah lagi syarikat yang turut `dikongsi’ bersama dikatakan tidak betul. Syarikat itu asalnya adalah milik adikku sendiri. Menurut rakan kongsiku itu anaknya yang baru tamat universiti telah membuat semakan akaun. Aku dikatakan salah menguruskan akaun sedangkan akaun itu dibuat oleh anak buahnya sendiri yang kami lantik sebagai pengurus. Anak buahnya yang juga bekas pelajarku yang diambil bekerja sebaik tamat Tingkatan Enam.
Seperti biasa, aku memang tak mahu gaduh-gaduh atau hilang kawan pasal duit. Aku cadangkan perniagaan itu ditutup sahaja. Aku dan kawanku yang seorang lagi turut bersetuju. Bagaimanapun kami tidak pernah mencadangkan syarikat Praperkahwinan itu turut tutup sama.
Rentetan peristiwa itu, sesekali aku terdengar juga cerita aku dipersalahkan. Lebi menyedihkan pada suatu hari aku menerima cek daripada bekas pengurusku itu. Katanya, pembahagian telah dibuat atas nasihat rakan kongsiku dan jumlah yang tertera di cek ialah bahagianku.
Aku terfikir juga. Siapa yang lebih berhak untuk menetapkan kadar itu. Tidak diambil kirakah susah payahku sebelum dia masuk mudah ke syarikat itu. Aku mengembalikan cek itu. “Pulangkan cek ini kepada pakcik kau. Tak perlu cakap sana. Cakap sini. Kalau kata ini bukan hak saya, kenapa berikan kepada saya,” kataku mencuka.
Malam itu aku tulis `surat cinta’ kepada rakan kongsiku itu. “Selama ini saya cukup memandang tinggi terhadap ustaz. Saya tidak mahu bermasam muka pasal duit. Biarlah kita diadili di akhirat nanti.” Itu antara kata yang terungkap.
Pada awal pagi raya tahun itu; belum tiba lagi waktu sembahyang sunat Aidilfitri aku didatangi ustaz rakan kongsiku itu. “Saya mohon maaf!,” katanya. Aku memaafkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan