Khamis, 16 Jun 2011

Cikgu Daud

Tahun 1957 tahun keramat negara Malaysia. Tahun negara tercinta bebas daripada  belenggu penjajahan Inggeris. Tahun 1957 juga tahun keramat aku. Aku menjejakkan kaki  ke alam persekolahan, ke sebuah sekolah umum ketika itu. Sekolah Umum Salak Nama. Guru Besarnya bernama, Cikgu Idris Yusof, orang Bongek. 
      Dulu Darjah 1, cikgu pertama aku, Cikgu Daud, bertubuh kecil, kurus dan tinggi. Suara nyaring kuat. Semua murid takut. Garang. Rotan halus sentiasa di tangan. Cikgu Daud orang Padang Lebar. 
     Awal tahun persekolahan, 54 tahun yang silam, ayah pada hari pertama persekolahan telah menjelaskan semua bayaran termasuk bayaran buku-buku latihan. Minggu kedua, baru Cikgu Daud membahagikan buku-buku tulis kepada murid-murid. Bilangan murid Darjah 1 cuma 28 orang. 
     “Hari ini cikgu nak bahagikan buku-buku tulisan,” kata  Cikgu Daud, apabila masuk ke kelas pagi itu.“Cikgu panggil nama seorang demi seorang, datang ke hadapan ambil buku,” tambahnya. 
     “Baik cikgu!,”  murid menjawab serentak gembira. Cikgu Daud membahagikan buku-buku latihan. Kini 27 murid telah menerima buku masing kecuali aku. Baki buku latihan hanya untuk seorang murid lagi. “Siapa belum dapat lagi?” tanya Cikgu Daud dengan nada suara tinggi. 
     “Saya cikgu,” jawabku.“Siapa nama awak?” tanya Cikgu Daud lagi. “Mohamad bin Sadin,” jawabku. 
     Cikgu Daud membaca senarai nama satu persatu. “Mana ada Mohamad bin Sadin,” jelasnya. 
     “Mari sini,” ajak Cikgu Daud mengikut dia dari kelas ke kelas. “Siapa kenal budak ni?” tanya Cikgu Daud dalam kelas Darjah 4. 
     “Saya cikgu,”  jawab seorang murid Darjah 4 sambil mengangkat tangan kanannya. 
     “Siapa nama dia? tanya Cikgu Daud. “Mohamad bin Abd Ghani,” jawab Pilus murid Darjah 4 itu. 
     “Dia kata nama dia Mohamad bin Sadin,” terang Cikgu Daud. 
     “Sadin,  nama datuk dia cikgu,” terang Pilus lagi. Murid Darjah 4 ketawa. 
     “Nama bapa pun tidak tahu,” Cikgu Daud merungut dan balik ke bilik Darjah 1.
      Cikgu Daud memang guru yang sangat hati-hati menjalankan tugas. Walaupun satu set buku latihan berbaki dan hanya seorang murid sahaja belum menerima bukunya, Cikgu Daud berusaha mendapat kepastian. Cikgu Daud mendapat kepastian daripada murid yang mengenaliku.  
     Lucunya, buku latihan hanya berbaki satu set dan hanya seorang murid yang belum mendapatnya. Buku itu pasti milik Mohamad bin Abd. Ghani atau Mohamad bin Sadin. Cikgu Daud hanya hendak pastikan Mohamad anak Ghani atau anak Sadin. Anak ayah atau anak datuk.
Mohamad Haji Abd Ghani

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya memang terkesan dgn catatan sebegini.TK.