Isnin, 6 Jun 2011

Tunjuk IC

Sesuai dengan kemodenan Johor Bahru hasil tempias pembangunan jirannya, Singapura, bandar ini turut dibanjiri tayangan filem berunsur seks sekitar awal tahun 1970-an.
         Sebagai anak muda julung berkeris, sebahagian kerusi panggung wayang dipenuhi kami, guru pelatih lelaki Maktab Perguruan Mohd Khalid. Pada masa itu lagi kami telah dikenalkan kepada kategori filem – X, XX atau XXX Films.
         Di bandar-bandar lain di Malaysia ketika itu, filem-filem ini seolah-olah diharamkan kecuali ada pemilik panggung yang sanggup menipu – poster yang dipasang filem lain tapi apabila sudah di dalam, filem sekategori ini. Biasanya peminat setia filem jenis ini saja yang tahu apa sebenarnya filem yang kebiasaannya ditayangkan pada tengah malam.
         Antara poster filem yang menjadi mangsa pemilik panggung ialah filem-filem koboi lakonan John Wayne atau filem The Good, The Bad and The Ugly. Apabila melihat poster ini, mereka sudah tahu memang ada adegan `bergaduh’ di dalam.
         Seperti yang pernah diceritakan sebelum ini, tubuhku yang kecil dan muka yang masih belum berjerawat, menyebabkan aku sering sahaja ditahan di pintu masuk panggung.
         Menurut penjaga pintu berwajah samseng, aku masih di bawah umur dan tidak layak untuk menonton. Maka sejak itu aku pastikan kad pengenalan turut dibawa apabila hendak ke panggung.
         Lucu juga mengenangkan betapa kami sanggup berjalan kaki lebih lima Kilometer selepas wayang tamat. Perkhidmatan bas merah Nombor 9 atau bas hijau ke Jalan Tarum sudah tiada lagi selepas jam 12.00 tengah malam.
            Maka meredahlah kami di tengah-tengah malam buta itu walaupun terpaksa melintasi tanah perkuburan Jalan Mahmoodiah sebelum sampai ke rumah. Kami sudah tidak takut hantu lagi. ”Macam mana nak takut! Kitapun dah jadi hantu,” kata Jamaludin Jani, rakan kami paling tua.

Tiada ulasan: