Rabu, 1 Jun 2011

Bear di Edinburgh

Untuk tidak mengganggu isteri untuk membeli barangan cenderamata sewaktu di Edinburgh, aku membawa anak keduaku Siti Atiqah ke sebuah kedai menjual permainan.
      Kedai itu cukup besar sehinggakan kalau kita berada di pintu masuk, kita tidak dapat melihat dengan jelas barangan yang dipamerkan di bahagian belakang kedai. Pekerjanya pula tidak ramai.
      Siti Atiqah masih berusia kira-kira dua tahun ketika itu. Dia leka dengan pelbagai permainan dan anak patung – dari teddy bear, Garfield, Poo dan sebagainya; semuanya ada dan besar-besar belaka.
      Setelah mencari isteri, aku segera berkejar ke kereta kerana tempoh tiket letak kereta hampir tamat. Tanpa disedari, sambil menarik tangan kiri Siti Atiqah, di tangan kanannya mengepit teddy bear yang sederhana saiznya.
      Hanya apabila sampai di kereta baru aku sedar kehadiran teddy bear itu. Untuk berpatah balik bagi menjelaskan bayaran, terasa malas pula.
      Sewaktu Siti Adibah, anak ketigaku bermain-main dengan teddy bear itu sekarang, perasaan bersalah tetap datang. Teddy bear `hasil rompakan’ kakaknya.

Tiada ulasan: