Selasa, 14 Jun 2011

Penangan MLM

Rahim! Siapa yang tidak kenal dia di tempat kerja. Selain kerja rasmi – ada sahaja bisnes MLM yang disertai. Dulu, Rahim heboh jual alat jimat minyak kereta, jual ubat kuat, kemudian jual kupon telefon, hinggalah jual ubat imunasi tubuh.
       “Ji! Badan sihat, duit dapat,” itu taglinenya.
       Walaupun beberapa kali dia ajak, aku balas dengan manis sehinggalah ajakan itu diperkukuh oleh seorang kawan baik yang mempunyai nama yang sama.
       “Geng! Program ini meyakinkan. Ada seorang kakak tu buat ribu-ribu sebulan,” kata pemilik suara bertubuh kurus tinggi itu. Semua orang tahu – aku macam kembarnya. Nama, nama universiti pertama, nama universiti kedua malah suatu ketika dulu, jumlah anak dan jantinanya pun sama.
       Mungkin kerana wajah ikhlasnya yang mengajak, aku terus mendaftar diri di bawahnya -  RM2,700. 00. Maka, bermulalah satu lagi cerita.
       Kelas malam juga bermula. Ceritanya penuh juta-juta. Diceritakan juga, carilah kebebasan kewangan dan waktu tapi aku dapat merasakan semakin banyak hilangnya waktu itu. Mengapa tidak? Berkejar ke Terengganu, berkejar ke Kuching cari prospek. Itu tidak masuk lagi sesi latihan di Kuala Lumpur dan Melaka.
       Hati tertanya-tanya juga, cerita hujung lebih banyak daripada cerita pangkal. Hujung cerita – Mercedes, BMW, banglo tepi laut, melancong seluruh dunia, bla... bla... bla... Cerita pangkal, membesarkan jualan kurang.
       Aku sering dipandang serong oleh up-line dalam sesi latihan. Pada mulanya aku tidak tahu puncanya. Mungkin mereka memikirkan mereka trainer berwibawa tanpa menyedari aku juga trainer terlatih.
       Mereka semacam rasa tidak senang apabila aku enggan mengikut arahan mereka. Bukan sengaja hendak buat degil. Bagi aku manifestasi diri tidak semestinya dipancarkan melalui jerit, pekik dan melolong – Mahu kaya? Mahu! Mahu pakai Mercedes? Mesti! Hendak punya banglo besar? Wajib....
       “Aaaah! Mengarut,” getus hatiku. Akhirnya aku tahu dan membuat rumus. MLM itu kerjanya menaikkan semangat ahlinya hingga tidak sedar diri.

Tiada ulasan: