Khamis, 14 Julai 2011

Adam

Di Regent's Park, London

Masih persoalan lemah bahasa Inggeris.  Aku tidak ada masalah untuk bergaul dengan pelajar-pelajar yang menginap di Malaysia Hall, Birmingham. Kesemuanya Melayu.
      Apa yang menjadi masalah apabila aku diajak isteri menyertai beberapa program universiti yang sudah tentunya pelajarnya datang dari seluruh pelusuk dunia atau apabila rakan-rakannya itu bertandang ke Malaysia Hall. Takkan aku tidak bercakap langsung.
      Aku boleh memahami bahasa Inggeris dengan baik tapi yang kurang adalah kemahiran bertutur. Aku boleh menyampaikan maksud tetapi cara penyampaian terasa artificial. Ikut ayat buku.
      Suatu petang, Adam rakan sekuliah isteriku datang ke Malaysia Hall. Menurut isteriku, pelajar dari Nigeria itu datang kerana hendak berbincang mengenai kerja kumpulan yang perlu disiapkan.
      Sewaktu diminta turun ke bilik tetamu di tingkat bawah untuk berkenalan, aku merasakan diri terlalu kecil untuk berhadapan dengan lelaki yang petah bahasa Inggerisnya itu.
      Terlalu ramah sifat Adam sehinggakan gurauannya terhadap isteriku amat menyakitkan hati. Entahlah! Sama ada aku cemburu atau rendah diri.
Aku tidak betah untuk bercakap panjang dengannya. Setelah berbual beberapa minit dengan menyusun ayat di kepala sebelum melafazkannya, aku terus membuat keputusan untuk naik ke bilik.
      ”You all boleh berbincanglah,” kataku terus ke pintu. Rasa-rasanya itulah pertama kali aku kenal erti cemburu.

Tiada ulasan: