Isnin, 18 Julai 2011

Rezeki Yang Tertangguh


Azamnya memang kuat, kuat sekental namanya – Azam Md. Atan. Azam, rakan sekelasku sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Dato’ Mohd. Said, Nilai. Aku budak Labu, dia budak Kubang.
     Azam yang kukenal, memang begitu sejak dulu. Dia datang ke sekolah dengan pakaian yang digosok rapi – boleh luka tangan jika terkena sidenya. Dia tenang. Cool, kata orang hari ini.
     Buku-bukunya tersusun rapi dalam beg rotan berbentuk bulan sabit; seingat-ingat aku dipakainya sejak aku mula mengenalinya sehinggalah kami berpisah pada tahun 1970.
     Bagaimanapun setenang-tenang Azam, aku dapat membaca derita yang ditanggungnya yang kemudiannya, sebahagian kecilnya aku tahu. Ibunya ditinggalkan ayah tatkala anak-anak memerlukan makan-minum untuk meneruskan hidup.
     Azam berjaya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam manakala aku ke maktab perguruan. Walaupun jarang bertemu muka, aku sentiasa tahu perkembangan dirinya.
     Setelah tamat Universiti Malaya, Azam bertugas sebagai guru dan laluan kerjayanya agak laju. Sewajarnyalah – Azam kuat bekerja dan aku tahu perjuangannya bertunjangkan maruah bangsanya.
     Satu ketika aku terbaca di akhbar, Azam dituduh rasis sewaktu memberi ceramah. Terdengar juga ada yang berkata, tamat di situ sahajalah laluan kerjayanya.
     Beberapa bulan lalu, aku dan rakan-rakan sekelas diundang ke majlis persaraannya di Sekolah Menengah Sains, Rembau. Aku, Jo dan Shamsiah serta jemputan yang memenuhi dewan tidak berganjak walaupun jam hampir menunjukkan jam 12.00 tengah malam.
     Malam itu mengesahkan apa yang terselindung di sebalik wajahnya selama ini. Azam mengongsi kehidupan keluarganya melalui tayangan multimedia.
     “Saya bersyukur kepada Allah. Percayalah! Kalau rezeki itu rezeki kita, ia tidak ke mana. Ia mungkin tertangguh sahaja,” kata Datuk Azam Md. Atan, Pengetua Super Jusa C.

Tiada ulasan: