Pertama kali aku bercakap dengan Datin Faridah sewaktu dia dan beberapa ahli Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri (PEKERTI) datang ke studio institut untuk merakamkan lagu rasmi persatuan.
Sementara menunggu beberapa rakan lain datang, aku ajak Datin Faridah dan rakannya masuk ke pejabatku. Sebagaimana biasa aku melayan tetamu yang datang dan Datin Faridah yang berusia sekitar 40-an itu mula membuka cerita yang dia serba-sedikit tahu mengenai diriku.
“Dengarnya Tuan Haji belajar di luar negara dulu?,” tanya beliau sambil melepaskan pandangan ke dinding pejabatku yang terhias beberapa foto peribadi.
“Cantiklah ofis Tuan Haji ni!,” tambahnya lagi berbasa-basi. Aku cuma menjawab dengan anggukan dan sedikit kata.
“Faridah tu adik ipar saya. Dia pernah bertugas di bawah isteri Tuan Haji,” katanya mungkin untuk mewujudkan suasana mesra.
Aku mengiakan kerana aku lebih mengenal Cikgu Faridah daripada Datin Faridah, kakak iparnya. Malah aku telah lama kenal suami Datin Faridah ini iaitu sejak dia jadi Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Nasional Berhad lagi.
Dialah yang bertanggungjawab untuk kempen Amanah Saham Nasional sewaktu mula diperkenalkan dulu. Kini, Firdaus Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong.
Sebetulnya sepupu Firdaus berkahwin dengan adik keduaku dan aku tahu rumah keluarga Firdaus hanya bersebelahan dengan rumah keluarga adik iparku di Kampung Rendah, Rembau.
Hanya tidak sampai sebulan selepas itu, Datin Faridah lebih dapat kukenali kerana tindakannya menyebabkan aku dipanggil mengadap isteri Pengerusi Pekerti, isteri Menteri Besar sendiri.
“Nasib baik Datin Faridah telefon saya. Kalau tidak, senang-senang sahaja Tuan Haji memburuk-burukkan Pekerti,” kata Datin Raja Salbiah menyinga.
Aku lihat Datin Faridah tersenyum bagai seorang juara.
Sejak peristiwa itu (ada cerita khusus mengenainya) aku jarang bertembung dengan Datin Faridah yang kudengar pernah berkerja sepejabat dengan bakal suaminya, sebelum berkahwin dulu – kerja biasa-biasa.
Sebelum itu juga, sesekali aku bertembung dengan pasangan yang turut tinggal di taman perumahan bersebelahan taman perumahanku di kedai makan Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Ingin benar aku beritahu suaminya supaya Datin Faridah dihantar ke sekolah kembali kerana dia perlu belajar a, b, c mengenai 17 nilai murni yang terkandung dalam sukatan pelajaran sekolah rendah.
Sewaktu bertembung di majlis perkahwinan anak adik keduaku, Datin Faridah bagai tidak dapat melihat mukaku sewaktu suaminya menegur dan bersalam mesra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan