Khamis, 14 Julai 2011

What do you mean by Zul?

Minggu-minggu awal berada dalam kelas Mrs. Ivy Brember cukup menyeronokkan juga. Mrs. Brember mengendalikan subjek major – Pembelajaran Berbantu Komputer. Antaranya pengaturcaraan, reka bentuk instruksional, reka letak halaman, pemilihan warna dan sebagainya.
      Kelas kami tidak ramai, cuma 17 orang. Selain aku pelajar tunggal dari Malaysia, selainnya pelajar dari China, Tanzania, Greece, Taiwan, Kuwait dan paling ramai dari Arab Saudi. Lelakinya cuma aku dan John, pelajar dari Greece.
      Pada masa inilah aku sedar bahawa pendidikan di Malaysia lebih baik daripada pendidikan di negara-negara yang pelajarnya ada bersamaku. Rumusan ini aku buat hanya berasaskan penguasaan bahasa Inggeris mereka.
      Walaupun sebelum ini aku menyebut penguasaan bahasa Inggerisku agak lemah tetapi rupa-rupanya pelajar-pelajar lain lebih teruk. Di sini berlaku `turning-point’. Kalau dulu aku semacam tidak yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris; berdasarkan pengalaman bersama rakan sekuliahku menyebabkan keyakinanku datang secara tiba-tiba.
      Bolehlah aku katakan, penguasaan bahasa Inggerisku paling terkedepan jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain. Aku sering dirujuk untuk memahami bahan kuliah, apatah lagi oleh pelajar-pelajar dari Arab Saudi dan Kuwait.
      Mungkin kerana itulah agaknya Mrs. Brember sering menyebut namaku sewaktu masa kuliahnya. Malah usik dan guraunya juga sering menjadikan namaku sebagai contohnya.
      Oleh kerana selalu sangat menyebut nama `Zul’, Syamiah, pelajar dari Arab Saudi yang duduk bersebelahan sempat bertanya kepadaku pada suatu pagi. Beliau mungkin memikirkan `Zul’ itu salah satu bahasa pengaturcaraan.
      “What do you mean by Zul?”
      “Zul is my name,” kataku tersenyum.

Tiada ulasan: