Bersama Anim (PA Pengarah) sewaktu menjalankan tugas Pengarah dulu... |
Semalam aku ke tempat kerja lamaku – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar. Lama juga aku tidak ke sana. Entahlah… Daripada menjadi rumah kedua (kadang-kadang rumah pertama pula), aku bagaikan tidak berselera ke sana setelah sekali datang beberapa hari selepas bersara.
Aku di sini sejak 1 Mac 1991 hinggalah bersara pilihan 56 tahun pada 9 Disember 2009. Aku tidak tahu! Semalam aku dapat merasakan kembali nikmat bersama-sama IPGKRM sebaik-baik aku melangkah masuk lobi utama. Di situ Azalina sudah sedia menunggu. Anim yang ingin turut serta juga ada di situ; kemudian Aisyah turut menawar diri untuk bersama. Ke mana? - untuk minum pagi bersama-sama seperti dulu.
Sampai sahaja di simpang empat melepasi Kem Sikamat, Anim dapat panggilan. “Tuan Haji, saya kena balik. Rektor datang.” Aku tidak ada pilihan lalu berpatah balik.
Oleh kerana ada dua lagi tempat duduk kosong di Toyota RAV4ku, aku meminta Azalina menelefon Azuwa. “Dia tengah cuba kasut baru Cik Zul!,” jawab Azalina yang bertubuh bulat itu.
Sementara menunggu Azuwa, aku ke garaj untuk menemui Pak Wan. Azuwa kemudiannya meluru datang bersama Khatijah. Sewaktu sedang menaip ini, baharu aku teringat Khatijah mengadakan majlis perkahwinan anaknya di Balai Kerapatan hari ini – Aduuuuuh! Jam sudah 4.00 petang. Majlis sudah tamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan