Jumaat, 8 Julai 2011

Ulat Beluncasku Bertukar Menjadi Rama-rama.

Aku sedang membelek-belek pokok durian belanda yang baru kutanam beberapa bulan yang lalu. Pokoknya sudah sama tinggi denganku. Lebih kurang lima kaki. Dedaunnya sudah mula rendang.Tiba-tiba aku ternampak ada tompok putih di bahagian bawah sehelai daun.
       Aku perhatikan betul-betul, “Ah! Rama-rama sudah bertelur, alamat habislah daun pokok ini!,” aku berkata pada diriku.
       Beberapa bulan yang lalu, aku geli-geleman apabila ternampak banyak ulat beluncas berwarna hijau sebesar jari kelingking memakan dedaun pokok itu. Aku terlompat-lompat apabila aku cuba menguiskan ulat-ulat itu ke bawah. Aku berbuat begitu untuk menyelamatkan pokok durian belandaku.Ketika itu pokok itu baru setinggi tiga kaki, daunnya belum berapa banyak.
       “Kali ini selamat, cuma baru telurnya!,” hatiku berkata lagi.
       Aku pun mengambil gunting dan menggunting bahagian daun yang ada telur. Setelah memeriksa dan membuang hampir setiap helaian daun yang ada telur rama-rama, aku pun beredar.
       Tiba-tiba aku ternampak seekor ulat beluncas, tersorok di bahagian bawah pokok. Aku pun dengan geram memetik daun itu dan meletakkan daun itu di atas lantai simen. Ketika itu hari sudah panas. Ulat beluncas itu melentuk-liuk apabila badannya menyentuh simen yang panas itu.
       Ia berhenti dan berpusing arah. Ia tak dapat bergerak ke mana-mana lagi. Timbul pula rasa kasihan aku melihatnya. Ia pun makhluk Allah juga.
       Aku teringatkan vivarium kepunyaan anak saudaraku yang kupinjam ketika membuat eksperimen mengenai belalang. Tanpa berlengah lagi, aku pun mengambil vivarium itu dan meletakkan ulat beluncas tadi ke dalamnya.
       Aku pun mengambil beberapa helai daun dan merenjiskan sedikit air. Ulat beluncas ini akan mati jika dedaun itu menjadi kering. Hidupan seperti ulat beluncas, perlukan makanan, air dan udara untuk hidup.
       Sebenarnya aku baru sahaja memulakan pelajaran bertajuk: Kitaran hidup haiwan. (Stages in the life cycle of a butterfly, frog and a chick)
       “Ini peluang baik untuk membuat eksperimen tentang kitaran hidup rama-rama!,” kata hatiku. “Minggu hadapan akan ku bawa penemuanku ini ke sekolah dan akan kutunjukkan kepada anak-anak muridku”, fikirku lagi.
       Minggu hadapannya, aku pun membawa vivariumku ke dalam kelas. Berkerumunlah anak-anak muridku melihat ulat beluncas itu.
       “Cikgu! Cikgu! Mana cikgu dapat ulat ni?” tanya salah seorang muridku.
       “Cikgu jumpa ulat ini pada daun pokok durian belanda di rumah cikgu,” jawabku.
       “Cikgu, kita boleh pegangkah ulat ini?” tanya seorang lagi muridku.
       ”Tak boleh, kita tak boleh pegang ulat beluncas ini!,” jawabku.
       “Kenapa tak boleh pegang Cikgu?” tanya murid itu tadi.
       “Sebab ulat ini ada bulu halus, nanti kulit kita akan jadi gatal apabila terkena bulu-bulu itu!,” jawabku.
       Pelbagai soalan yang mereka tanyakan padaku. Ada yang menyatakan fakta-fakta yang salah. Aku tersenyum mendengar percakapan anak-anak muridku.
       Aku pun menerangkan dengan lebih terperinci, “Ini adalah ulat beluncas. Ulat beluncas ini adalah telur rama-rama yang telah menetas. Rama-rama betina bertelur di bahagian bawah daun. Selalunya ia akan bertelur pada daun pokok yang menjadi sumber makanan untuk ulat beluncas.”
       “Sebaik-baik sahaja menetas, ulat beluncas ini akan memakan dedaun di sekelilingnya hingga ia cukup besar dan matang,” sambungku lagi.
       “Ulat beluncas ini sudah hampir matang. Lihat saiznya sudah sebesar jari kelingking Cikgu!. Maknanya tidak lama lagi ia akan bertukar ke peringkat yang ketiga dalam kitaran hidupnya!” kataku lagi.
       “Oh,” ternganga mulut anak-anak muridku mendengar peneranganku.
       “Lihat benda hijau yang bulat-bulat itu!,” sambil menudingkan jariku ke satu sudut dalam vivarium itu.
       “Apa tu Cikgu?, tanya muridku.
       “Itulah najis ulat beluncas itu!” Kami sama-sama ketawa.
       Sekarang pelajaran Sains diajar dalam Bahasa Inggeris. Tetapi kasihan murid-murid Melayu masih ketinggalan dan kadangkala terpaksa juga aku menerangkan dalam dwibahasa supaya mereka mudah faham.
       Hari ketiga aku membela ulat beluncas itu, ia telah matang dan bertukar menjadi pupa, peringkat yang ketiga selepas ulat beluncas. Peringkat pertama adalah telur. Ia menjadi pegun dan melekat di satu sudut vivarium itu. Ia tergantung dan mengeras. Hampir dua minggu selepas itu, ulat beluncasku pun bertukar menjadi rama-rama yang cantik. Semua anak-anak muridku gembira melihat rama-rama itu.
       “Sungguh menakjubkan!”, kata mereka. Mereka dapat melihat kitaran hidup rama-rama secara lebih dekat. Dan mereka lebih faham. Barulah aku tahu bahawa anak- anak muridku sebenarnya tidak pernah melihat secara dekat akan kitaran hidup rama-rama.
       Nasib baik aku berfikiran terbuka dan tidak membunuh ulat beluncas itu. Walaupun aku memang geli apabila melihatnya. Aku rasa gembira dan senang hati kerana telah dapat memberikan pengajaran yang lebih berkesan kepada anak anak muridku.
       “Cikgu, apa cikgu nak buat dengan rama-rama ini?,” tanya seorang muridku.
       Belum sempat aku menjawab, seorang muridku mencelah, “Cikgu, kita lepaskan rama-rama ni!”
       “Betul! Kita lepaskan rama-rama ini, kasihan dia”, aku menambah.
       “Ala Cikgu, janganlah lepaskan rama-rama ni, kita jagalah sehingga ia bertelur!,” pinta seorang muridku.
       “Tak boleh, rama-rama ini perlu mencari madu dari pelbagai jenis bunga sebagai makanannya. Lagipun ia perlukan ruang yang lebih besar untuk ia terbang dan mengembangkan kepaknya. Kepaknya rapuh dan sensitif. Ia akan mati jika tidak dilepaskan,” aku mengakhiri peneranganku.
       Pada waktu rehat, kami pun sama-sama membuka vivarium itu. Dan rama-rama itupun terbang bebas!
       Kami sama-sama tersenyum puas.
oleh: Sharifah Intan Thalathiah

Tiada ulasan: