Rabu, 20 Julai 2011

Din Menggelabah

Petang semalam aku terjumpa Din Menggelabah sewaktu membaiki Modenas Passion yang dipulangkan kembali oleh abah kerana tidak mampu lagi menunggangnya.
     “Bang! Motosikal tu tak cukup angin,” katanya selamba sambil bibirnya menjuih ke arah tayar motosikalku. Din kemudiannya menolak motosikalnya masuk di kedai China dekat Surau Hitam, dekat persimpangan Kelab Golf Antarabangsa Seremban. Perut Din semakin memboyot sekarang.
     Siapa yang tidak kenal Din di Seremban, apatah lagi di kawasan Ampangan. Selain Din Menggelabah, dia juga dikenali sebagai Din Katak. Din yang dengarnya tidak habis belajar sehingga Darjah Enam dan tak tahu menulis dan membaca hingga kini.
     Sepuluh atau 15 tahun dulu mungkin kita tidak menyangka Din boleh menolak motosikal. Din Orang Kaya Baru (OKB) ketika itu. Selain Mitsubishi Pajero, Din pakai Mazda Astina dan dengarnya berkawan pula dengan Kuza yang kemudiannya berkahwin dengan rakanku, Haji Zamrin.
     Mana datang duit Din, budak pejabat UMNO Perhubungan Negeri Sembilan itu? Ramai yang tahu, Din merasa nikmat balak. Hebat! Memang Din hebat.
     Menurut Atok (Athailah) yang kenal Din sejak kecil, `kehebatan’ Din mampu `membunuh’ seorang peniaga China di Seremban. Din pakai cop tanda tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Mohd Isa Samad yang mengesahkan dia diberikan satu konsesi balak.
     Cerita Atok, peniaga China itu boleh percaya Din boleh mendapatkan konsesi itu lantas memenuhi permintaannya dengan jumlah deposit yang agak besar.
     “Tauke itupun bukan ada duit. Dia pinjam Ah Long,” cerita Atok dalam sengeh mahalnya sewaktu kami berkumpul selepas sambutan Hari Raya taman perumahan kami.
     “Tahu apa jadi dengan China tu?,” tanya Atok.
     “Mana kami tahu! Kau tak cerita lagi,” kami memekik lantang hampir serentak kerana tak sabar lagi hendak tahu apa yang terjadi.
     “China tu minum racun Gramoxon! Ah Long kejarnya sana-sini,” dia menutup cerita yang kami sambut dengan ketawa yang terbahak-bahak.
     Rupa-rupanya cerita Din jadi OKB tidak lama. Menurut cerita, Din sudah pandai berdangdut di Taman AST, Soho (London) Seremban. Malah Din ada kerusi khas di situ yang mana sesiapapun tidak boleh meletak punggung. Kerusi itu milik Din 100 persen.
     Din akan segera mengobok saku seluarnya apabila seorang demi seorang GRO yang singgah di kerusi itu untuk merapati Din. Sekali kobok, bukan sepuluh dua puluh ringgit. Dengar cerita, habis koman note RM50.00      
     Selain menjadikan pusat dangdut itu sebagai Bank Simpanan Nasionalnya, banyak lagi cerita Din setelah dia kaya. Dia ketika itu sudah pandai baca NST, Malay Mail dan The Star. Menurut seorang lagi kenalan sejak kecilnya, Ramli Harun, sambil duduk di Pajeronya, Din sering ditemui tekun membaca akhbar berbahasa Inggeris itu.
     “Dia ingat kita tak tahu dia buta huruf!,” Ramli semacam menyergah sewaktu bercerita di Medan, Indonesia.
     “Macam mana pula kau tahu, dia tak pandai baca. Mungkin dia belajar kelas malam apabila kaya,” aku bertanya sekadar mengusik.
     “Sesiapapun boleh tahu! Mana tidaknya, Din selalu aku tengok baca surat khabar terbalik!” Deraian ketawa pecah di situ.
     (Tunggu cerita Din Menggelabah Siri Dua dan seterusnya nanti!)
Kosa Kata Dialek Negeri Sembilan.
kobok - memasukkan tangan ke dalam saku seluar.

Tiada ulasan: