Jumaat, 15 Julai 2011

Roti Iran

Antara keistimewaan Iran adalah rotinya. Begitulah pandangan peribadiku. Sewaktu transit selama dua hari di Tehran dalam penerbangan Kuala Lumpur-Madinah, hari pertama itu aku cuma makan roti dicecah sejenis kuah dan berulamkan sayur-sayuran segar.
      Isteriku tahu, sewaktu ke luar negara aku pasti memanfatkan sepenuhnya untuk merasa makanan tempatan tanpa mempedulikan rasanya. Janji halal.
      Kalau waktu di England dulu, aku pernah terbuka puasa semata-mata terbau keharuman ikan kod yang digoreng untuk dibuat fish and chip, begitu juga seleraku di Tehran.
      Roti orang Iran agak lebar. Baunya saja yang aku hidu sewaktu melalui bakeri berhampiran hotel sudah cukup memanggilku untuk makan. Warna coklat pekatnya cukup menggiurkan.
      Sambil makan aku terus memuji kelazatan roti Iran sehingga menyebabkan isterku semacam meluat. Sebagaimana biasa, dia masih memilih nasi yang turut dihidangkan oleh pihak hotel.
      Sewaktu dibawa melawat persekitaran Tehran, tanggapanku terhadap roti Iran mula berubah. Di mana-mana saja aku melihat sebahagian besar rakyat tempatan mengepit saja beberapa kepingan roti itu di bawah ketiak, tanpa bungkusan.
      ”Ayah masih berselera makan roti Iran,” tanya Siti Atiqah mengusikku perlahan.
      Aku terdiam.

Tiada ulasan: