Permuafakatan mencari jalan memartabatkan Za'ba: Pengarah LMNS, Drs. Shamsuddin Ahmad mencetus idea. Foto: Mawar LMNS |
Dalam bidang pengurusan, sesuatu program atau aktiviti dianggap telah mencapai objektif setelah melalui empat proses asas iaitu perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian.
Bagi sesiapa yang terlibat dengan MS ISO atau penarafan MQA, perkara ini adalah soal dasar.
Dalam konteks pengurusan penerbitan khususnya dalam jaringan sosial seperti Facebook dan blog, tempoh jarak masa di antara karya dihasilkan dengan karya diterbitkan sudah banyak dipendekkan.
Sebagai contoh, cerita-cerita yang saya hasilkan akan terus dapat diterbitkan sebaik-baik ianya siap (tentunya setelah berpuas hati dalam aspek cerita dan bahasanya).
Mari kita ikuti proses pengkaryaan saya melalui empat peringkat ini.
Perancangan: Selalunya peringkat ini berlaku di mana-mana sahaja. Sebagai contoh, pagi tadi sebaik usai berjemaah subuh saya tidak bersarapan dengan rakan pintar saya, Shariff Ahmad seperti biasa. Saya tahu jam 9.00 saya perlu berada di Seri Menanti untuk satu program Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Jadi, saya terus balik ke rumah untuk menghasilkan cerita Bak dan Fuad. Saya teruja apabila Bakri, rakan sejawat saya sewaktu di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4 (lebih 30 tahun lalu) tiba-tiba menjengah di Wall, Facebook saya.
Pelaksanaan: Alhamdulillah! Biasanya saya tidak mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan anekdot yang pendek sebegini. Cukup dengan satu story-line (jalan cerita) yang mudah. Rempah-ratus atau bumbu-bumbunya (dalam skrip tv khususnya sitkom, ia dipanggil punch-line) akan terjadi sendiri. Di sini pengalaman lalu dan latihan harian akan banyak membantu. Maka `digoreng’lah cerita. Lalu siaplah cerita Bak dan Fuad dan diterbitkan catatan pada jam 8.48 pagi. (cerita mula ditulis sekitar jam 8.00 pagi selepas selesai menghantar Siti Adibah ke sekolah dan menghirup Nescafe panas sendirian).
Pemantauan: Hampir jam 1.00 baru saya sampai di rumah lalu menjemput Siti Adibah di sekolah. Sementara menanti nasi masak, saya menjenguk Facebook dan blog untuk memantau perkembangan semasa. Biasanya saya tidak suka turut serta dalam polemik politik di FB. Kelmarin, saya cuba berbuat demikian. Maaf! Membuang masa saya sahaja. Penyokong mana-mana parti sanggup `mati’ mempertahankan pegangan walaupun jelas `pegangan itu salah.’ Komen mengenai foto di FB? Fotografi antara hobi saya sejak muda TAPI saya (perlukah saya meminta maaf sekali lagi?) akan berasa loya sekiranya komen mengenai foto `dara atau janda’. Lebih-lebih lagi ianya dilakukan oleh rakan seusia saya; apatah lagi yang lebih tua.
Penilaian: Inilah peringkat yang sering terabai. Saya tidak malu membuat pengakuan di sini. Sejak dimulakan 30 Jun lalu, ceritaapaapasaja cuma pernah menerima komen atau ulasan oleh dua manusia lain. Pertamanya, anak sulung saya, Siti Haryati sewaktu diminta menguji fasiliti tambah alat Blogger. Keduanya, oleh Tanpa Nama untuk karya Mazemie Maz yang hanya mencatat `He! He!” Saya pula cuba menguji `alat' ulasan bagi karya Nen (Dikejar Anak Ayam Togel).
Sewaktu catatan ini dibuat, sudah lebih 150 entri telah diterbitkan. Adakah blog ini tidak menarik? Di sini, aspek penilaian diperlukan. Baharulah pengeluar produk tahu duduk perkara.
Saya sejak sekian lama bersifat terbuka untuk menerima reaksi. Tanya bekas rakan sejawat saya, rakan peserta kursus saya malah bekas pelajar atau murid tahun satu saya - Zulkifli Abu tidak akan melatah apabila ditegur atau dalam bahasa berkonotasi negatif - dikritik. Ujilah...
Saya sejak sekian lama bersifat terbuka untuk menerima reaksi. Tanya bekas rakan sejawat saya, rakan peserta kursus saya malah bekas pelajar atau murid tahun satu saya - Zulkifli Abu tidak akan melatah apabila ditegur atau dalam bahasa berkonotasi negatif - dikritik. Ujilah...
Walaupun, pihak ketiga Blogger menawarkan khidmat Feedjit, untuk memantau dan menilai kunjungan, baharu semalam saya menggunakannya. Lihatlah sendiri Live Traffic Feed yang terpapar. Pembaca di Zurich turut membaca ceritaapapasaja.Alhamdulillah.
Jadi, bagi bakal penulis jangan anggap memberi komen atau meninggalkan catatan di blog yang dibaca adalah sesuatu perbuatan yang membuang masa. Facebook dan blog boleh menjadi medan latihan. Kalau dulu ruang Forum Pembaca atau A Letter To Editor boleh menjadi lapang sasar (kena tunggu pula sehari dua atau tidak terbit langsung), kini kita boleh lihat terus cetusan idea kita (kecuali blog yang mempunyai dasar tapisan dahulu) terbit di depan mata.
Akhirnya pesan saya, “Tidak ada jalan rentas untuk menjadi penulis yang baik. Laluan yang dijejaki itulah yang akan memperkaya minda.”
Jumpa lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan