Halaman

Rabu, 13 Julai 2011

Dikejar Dengan Parang

Dengan menghayun parang di tangan...
Din tersenyum melihatku...
Di persimpangan jalan...
Foto yang dirakam dari dalam kereta Shariff



Sewaktu sampai berhampiran simpang Jalan Angsana 1 dan Angsana 5, aku segera turun dari kereta untuk merakamkan detik yang aku tunggu selama ini – seorang lelaki misteri yang sedang menyorong kereta tolaknya.
     Aku dalam perjalanan ke Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri untuk menyuarat Panel Hakim Sayembara Puisi Kemerdekaan.
     Aku segera turun selepas menyauk segera Canon EOS400D yang berada di tempat duduk sebelah, lalu berlari ke hadapan lelaki misteri itu dan melepaskan dua `tembakan’.
     “Aaaah! Error 99. Lensa 18-55mm ini buat hal lagi! Ketika saat diperlukan, ia tidak berfungsi dan sewajarnya dibuat balingan anjing sahaja,” aku semacam hilang sabar.
     Aku melihat lelaki bertubuh kecil itu terketar-ketar laju mencari sesuatu daripada plastik sampah besar berwarna hitam juga. Dia menjerit tanpa dapat aku agak buah-butir percakapannya.
     Ketika berkejar semula ke kereta untuk mengambil lensa 55-200mm, mata lelaki berpakaian hitam itu mencerlung tajam ke arahku sambil tangannya ligat mencari sesuatu.
     “Sah! Dia ingin menyembunyikan barang curiannya,” aku membuat andaian segera. Ini kerana sejak beberapa hari lalu, dia kulihat menyorong kereta tolak yang sendat dengan barangan yang dimuat dalam beg sampah hitam dan begitu juga pakaiannya – hitam.
     “Angan ambik amba…! Angan ambik amba…!,” dia berteriak bagai diserang histeria sambil tangannya menerawang ke udara setelah menjumpai barang yang dicari – parang tajam.
    Dia lantas mengejarku sambil menghayun-hayunkan parangnya ke udara.
     Apa lagi… Aku terus berlari sambil kedua-dua belah tanganku diangkat ke atas bagai tentera Jepun di Pearl Harbour. Dia terus mengejarku dan tiba-tiba kulihat kereta putih NBS 8080 milik Shariff Ahmad lalu.
     Aku segera memberitahunya pendek sambil terus berlari menghala arah masjid. Shariff pula kulihat, ketika berpaling memecut kereta ke arah bertentangan.
     Sewaktu terhendap-hendap hendak memasuki lorong belakang rumah berhampiran di situ, aku sempat melepaskan beberapa shot lagi. Kemudiannya aku lihat lelaki itu bercakap sesuatu dengan jiranku, Din yang sedang berkebun di depan pintu kedua masjid.
     Setelah kulihat lelaki itu menolak kereta sorongnya dan kemudiannya belok ke arah kanan berhampiran pejabat Prop Development, aku segera mengambil keretaku dan menemui Shariff dan Din di situ. Baru aku perasan, keretaku tidak dimatikan enjinnya dan tingkapnya terbuka.
     Di tempat duduk penumpang terdapat pelbagai barangan berharga termasuk peralatan fotografiku.
     “Dia marah you ambil gambar dia. Dia angkat tangannya ke atas membawa maksud Tuhan marah ambil gambar,” kata Din. Aku mengucapkan terima kasih kepada Din kerana berjaya menenangkan lelaki itu.
     Aku kemudiannya segera meminta Shariff membawaku untuk melihat lelaki itu dari kereta sambil melepaskan beberapa das `tembakan’ lagi.
     Sewaktu hendak mengambil Siti Adibah dari sekolah kira-kira jam 1.00 petang tadi, aku melihat lelaki itu sedang berdiri sendirian berhampiran simpang Taman Golf Height. Dia tidak berpakaian hitam lagi tapi matanya tetap meliar di sana-sini.
Catat Ulasan