Rabu, 13 Julai 2011

Hamidah Anggun

sumber: ts1.mm.bing.net
Hamidah amat mengambil berat hal kecantikan dan penampilan diri sejak remaja lagi.  Segala petua kecantikan yang diwarisi daripada nenek serta ibunya tidak pernah diabaikan.  Hamidah menurut segala-galanya tanpa sebarang bantahan.  Maka tidak hairanlah setelah menjangkau usia pertengahan 40-an dan mempunyai empat orang cahayamata, Hamidah masih menawan dan kekal langsing.
“Kak Jah, kenapa pakai baju kelawar siang-siang hari macam ni?” Hamidah menegur jirannya yang sedang menjemur kain.  Kak Jah hanya melemparkan senyuman tawar.  Sejak hampir dua tahun berjiran dengan Hamidah, cara dia berpakaian, cara dia bertutur malah bentuk tubuhnya yang sudah tiada potongan kerap ditegur oleh Hamidah. 
     “Baju kelawar pun baju juga Midah,” jawab Kak Jah perlahan.  Jika diikutkan perasaan mahu saja dia menyumbat mulut Hamidah dengan pakaian basah di dalam baldi yang masih belum dijemurnya itu.  Namun, demi menjaga kerukunan jiran tetangga, Kak Jah melupakan terus hajatnya.
     “Eh, Kak Jah!  Mana boleh macam tu.  Kita kena pakai baju yang cantik-cantik.  Nanti, suami kita tak cari perempuan lain.” Hamidah yang mengenakan baju kebaya ketat berseluar jeans menyambung hujah sambil membetul-betulkan tudung yang senada dengan baju kebaya yang dipakainya.  Malah, kasut dan beg tangan Hamidah turut senada dengan warna pakaiannya pagi itu.
     “Midah lawa-lawa ini, hendak ke mana?” tanya Kak Jah cuba mengubah tajuk perbincangan.  Tidak sanggup lagi dia mendengar syarahan Hamidah.
     “Saya hendak ke spa, buat body scrub dan facial.  Orang perempuan ni, Kak Jah, semua perlu dijaga, luaran dan dalaman,” sambung Hamidah lagi. Kak Jah melemparkan senyuman sekali lagi, kali ini senyuman kelat. 
     “Saya pergi dulu, Kak Jah.  Saya sudah lewat ni.” Hamidah berlalu tatkala menyedari ‘nasihatnya’ tidak mendapat perhatian. 
     “Buat penat aku bercakap saja.  Dari dulu sampai sekarang, tidak mahu berubah langsung. Asyik-asyik pakai baju kelawar. Badan pulak semakin lama semakin gemuk.  Isshh! tak nak aku jadi macam Kak Jah tu.” Hamidah mengomel sendirian semasa memandu ke ‘Salun dan Spa Wanita Amat Cantik’ di Taman Permata.
     “Zaleha, Kak Pah, Jun.  Sebagai isteri dan wanita, jangan lupa penampilan diri. Walaupun kita surirumah, kita mesti sentiasa cantik.  Jangan asyik pakai kemeja-T dengan kain batik.  Tak cantiklah, selekeh,” Hamidah berhujah lagi ketika bersama-sama dengan beberapa orang surirumah yang sedang menunggu kedatangan lori sayur. Kali ini, Hamidah mengenakan pula sepasang baju kurung Johor yang sarat dengan kerawang dan manik-manik.
     “Alah, Kak Midah ni.  Jun dah memang lawa.  Tak payah pakai cantik-cantik,” jawab Jun yang begitu selesa dengan kemeja-T bercop Pulau Pangkor dan seluar sukan.  Dia pun kadang-kala naik bosan dengan gelagat Hamidah. 
     “Betul apa yang Jun cakap tu Midah,” sambut Kak Pah menyokong kata-kata Jun.
     “Kak Pah ni, menyokong Jun pulak,” balas Hamidah seolah-olah merajuk.  Hamidah sendiri sebenarnya sudah bosan dengan surirumah yang tidak sedikit pun  mahu mendengar nasihatnya.  Sebaik-baik saja lori sayur tiba, Hamidah segera berlalu pergi.
     “Kak Midah, hendak ke mana tu?  Tadi, kata hendak beli sayur,” laung Zaleha. 
     “Kak Midah tak masak hari ini.  Nak pergi urut badan dengan Mak Usu sekejap lagi,” jawab Hamidah yang sudah pun masuk ke dalam kereta Kancilnya.  Itulah kali terakhir Zaleha, Kak Pah dan Jun melihat kelibat Hamidah. 
     “Jah, mana Hamidah?  Dah lama tak nampak batang hidung dia?  Kancil putih dia pun, dah jarang Kak Pah nampak,” tanya Kak Pah kepada Kak Jah pada suatu petang.
     “Dia balik kampung.  Dengarnya, suami dia dah bernikah dengan pelayan gerai makan dekat selekoh sana tu,” maklum Kak Jah sambil bangun membetul-betulkan kain batik sarungnya.
     “Betulkah, Jah?” Kak Pah meminta kepastian.  Sukar baginya untuk mempercayai berita yang baru disampaikan oleh Kak Jah itu. 
     “Mustahil suami Hamidah boleh bernikah lagi. Hamidah sentiasa bergaya dan anggun. Di mana silapnya?” Kak Pah berkata dalam hati.
     “Betul. Hamidah yang beritahu saya semalam.  Sebelum ini suami dia selalu makan di gerai sana.  Tiba-tiba, dah bernikah dengan pelayan dekat situ,” Kak Jah menyambung ceritanya.  Sejurus kemudian, kedua-dua wanita lewat 40-an itu kelu membisu.
     Rupa-rupanya, selama ini Hamidah terlalu sibuk menjaga kecantikan dan penampilan dirinya sehingga urusan rumahtangga serta layanan terhadap suami dan anak-anaknya terabai.  Dapur Hamidah jarang berasap dan dia menjalankan urusan rumahtangganya sambil lewa.  Dia sibuk mengamalkan petua-petua turun-temurun ibu dan neneknya sehingga petua-petua pengurusan rumahtangga tidak diendahkan langsung. 
oleh: Norehan Mohd Nooh

Tiada ulasan: