Ahad, 24 Julai 2011

Home Sweet Home!

Disneyworld, tumpuan dunia
Universal Studio, Florida
Kata orang tidak kenal maka tidak cinta. Kalau tidak bergaul, tidak kenal budaya sesuatu kaum secara mendalam. Itulah yang dapat aku katakan apabila berpeluang bersama orang putih dalam pakej lawatan secara berkumpulan.
      Kami sekeluarga menyertai pakej itu sebagai memenuhi janji kepada Siti Haryati, anak sulung kami. Mengikut perjanjian itu, kami akan membawanya ke Disneyland, Florida sekiranya memungut semua `A’ dalam keputusan Penilaian Menengah Rendahnya.
      Ternyata Haryati bekerja kuat untuk itu. Beliau berjaya melaksanakan misinya. Oleh itu pada cuti musim panas tahun itu kami berangkat ke Florida melalui lapangan terbang Manchester.
      Barulah aku tahu pada hari itu Mat Saleh juga macam orang Malaysia. Kalau sebelum ini aku sering menegur sikap orang kampung yang sanggup menyewa bas semata-mata menghantar seorang jemaah haji ke Kelana Jaya, Mat Salleh ini apa kurangnya.
      Di lobi lapangan terbang, aku melihat ramai kaum keluarga yang menghantar mereka yang akan turut bersama pakej kami. Tidak cukup dengan melambai tangan sebelum masuk ke balai perlepasan, sepanduk yang bertuliskan `Selamat Berangkat dan Kembali’ kelihatan dipegang.
      Dalam kapal terbang pula aku lihat mereka kecoh sekali. Bising dengan perbualan. Aku dapat mengagak, itulah pengalaman pertama mereka menaiki kapal terbang. `Macam beruk’ begitulah orang kampungku sering mentafsirkan suasana itu.
      Sebaik-baik mendarat di Lapangan Terbang Sanford, Florida, aku sekali lagi terkejut apabila sebahagian besar penumpang bertepuk tangan dan menjerit riang apabila pesawat dapat mendarat dengan sempurna.
      Sekembalinya dari Florida kira-kira 10 hari kemudian, aku terkejut lagi apabila Lapangan Terbang Manchester dipenuhi pelbagai sepanduk yang menyambut kepulangan ahli pakej lawatan kami.
      Antara sepanduk itu tertulis perkataan Home Sweet Home.
      ”Hai! Rindu juga mereka walau hanya seminggu berpisah,” fikirku.

Tiada ulasan: