Isnin, 18 Julai 2011

Mengenang Hazizah

Allahyarham sewaktu menandatangani naskhah penulis `Mohd Isa: Sesungguhnya Dia Milik Rakyat'

Kalau adalah pertandingan siapakah Datin yang paling aku sukai, tanpa berfikir walaupun seminit aku terus memberi jawapan – Allahyarham Datin Seri Hajah Hazizah Haji Tumin. Dia isteri Tan Sri Mohd Isa Abd. Samad, Pengerusi Felda kini.
     Hazizah aku kenali sejak hari pertama Mohd Isa dipilih sebagai ADUN Bagan Pinang. Mungkin juga aku sudah bertemu dengannya lebih awal. Pangkat bapa saudaraku, Razak Khamis berkahwin dengan Allahyarham Hasnah, adik Mohd Isa. Aku turut ke Kampung Selonggok di Bagan Pinang sewaktu pernikahannya.
     Aku bukan sahaja bertemu Hazizah dalam majlis-majlis rasmi tapi juga di rumahnya. Aku tumpang sekaki dengan rakan karibku, Shariff Ahmad, Setiausaha Akhbar Menteri Besar ketika itu.
     Shariff yang sering mengajak aku dalam majlis-majlis di kediaman rasminya. Antara yang paling pasti, setiap malam Rabu untuk majlis bacaan Yaasin dan berzikir.
     Hubungan menjadi lebih akrab apabila isteriku mengajar anak sulung mereka, Mohd Najib di Sekolah Kebangsaan KGV manakala anak sulungku pula sekelas dengan anak kedua mereka, Megawati.
     “Datin yang minta supaya Megawati sekelas dengan Siti Haryati,” adu guru mereka pada suatu hari.
    Isteriku pula pernah bercerita mengenai Najib. Sewaktu ditanya cita-citanya sewaktu mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris, "The Prime Minister!," katanya dalam nada penuh yakin. Jawatan itu satu langkah lebih tinggi daripada ayahnya.
     Sewaktu Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) yang aku Timbalan Presidennya mengadakan Jamuan Makan Malam pula, aku dan dua lagi rakan trioku memilih lagu Oh Hazizah ciptaan Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee yang ditujukan khas kepadanya.
     Maka bermulalah hubungan yang lebih akrab. Kadang-kadang Haryati diundang bertandang ke rumah Nombor 4, Jalan Tasik dan kadang-kadang juga Balan, pemandunya menghantar Megawati bermain di rumahku di Taman Paroi Jaya, ketika itu.
     Banyak peristiwa yang memungkinkan aku merumus sesuatu sewaktu sering ke kediaman Menteri Besar. Kehidupan berkeluarga Menteri Besar kami cukup bahagia. Bukan Balan sahaja tidak dilayan sebagai pemandu malah Sabil dan  semua kakitangan yang ada di kediaman itu.
     Setiap kali datang, Hazizah yang menghidangkan minuman. “Minumlah Zul! Ini sahaja yang ada,” katanya selamba walaupun pelbagai kuih terhidang di meja.
     Pernah sekali aku terserempak Mohd Isa yang bertubuh rendah bulat itu berkain pelikat dan tidak berbaju sedang mengupas durian. Aku tahu. Mohd Isa memang gila durian.
     Dalam saat-saat sakitnya yang tidak perlu aku sebutkan di sini, Hazizah masih mampu tersenyum seperti biasa melayan rakyat yang datang ke kediamannya. Rakyat dapat merasakan, kediaman rasmi itu rumah mereka juga.
     Aku berada di Penang Sandy Beach Resort mengendalikan kursus Pensyarah Baharu sewaktu kudengar Hazizah sudah tiada pada Disember 2006 itu. Entah kenapa, aku tidak dapat menahan sebak yang amat sangat. Aku bagai kehilangan saudara rapatku. Aku sendu.
     Mari kita hadiahkan Al-Fatihah untuk Datin Seri Hajah Hazizah Haji Tumin.
      “Ya Allah! Kau tempatkanlah Allahyarhamah dalam kalangan orang yang terpuji seperti yang Kau janjikan. Amin!”



Tiada ulasan: