Sabtu, 30 Julai 2011

Kilang Epal dan Pear

Creator:Marilyn Barbone
Sewaktu mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan kerana menemankan isteri melanjut pelajaran di The University of Mancherster, aku berpeluang sekali lagi bekerja di kilang pembungkusan buah-buahan. Kali ini bukan buah pisang tapi epal dan pear.
      Setelah mendaftar dengan agensi pekerjaan, aku, Hamzah Ihsan (kini bergelar Dr. Hamzah, mantan Pengarah IPG Tun Husein Onn, Batu Pahat) dan Wan (pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri) diminta bekerja syif malam. Masuk jam 4.00 petang dan keluar jam 12.00 tengah malam. Kilang ini agak jauh dari rumah kami di Cheetham Hill. Oleh kerana itu aku terpaksa bergilir-gilir kereta dengan dua rakanku itu.
      Apa yang menyeronokkan kerja di sini, penyelia kilang jarang membuat pemantauan. Jadi, kami bebas melakukan apa yang kami suka. Apa yang pasti, kami perlu menjulang tinggi kotak demi kotak buah yang telah dipilih untuk dicurahkan ke dalam mesin.
      Daripada mesin ini, buah-buahan ini akan beratur sebiji demi sebiji ke mesin. pembungkusan pula. Lengkap dengan mesin perlabelan.
      Aku katakan seronok kerana waktu makan malam sepatutnya berhadapan dengan nasi dan kari, kami terpaksa membaham sama ada epal atau pear saja. Setelah memulakan kerja jam 4.00 petang, waktu rehat selama 15 minit hanya diberikan pada jam 9.00 malam.
      Sewaktu bertolak ke tempat kerja pula, kami sudahpun makan tengah hari kira-kira dua jam sebelum itu. Jadi, biasanya kami cukup berasa lapar sekitar jam 7.00 hingga 8.00 malam.
      Tidak hairanlah sepanjang seminggu bekerja di situ, kentut kamipun berbau epal dan pear.
      Sesekali sewaktu bertemu Dr. Wan yang kini bertugas di Jabatan Perdana Menteri atau Dr. Hamzah, kami sering bercerita kembali mengenai kilang buah epal dan pear.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam..blh saye tau kilang epal dan pear tu di mana?

ceritaapaapasaja berkata...

Kira-kira 15 Kilometer dari Manchester City menghala ke Liverpool.