Selasa, 19 Julai 2011

Mercu Karya

Kartunis Dan mengunjungku di rumah dua hari lalu... Foto: Siti Adibah
Entah dengar daripada siapa, Ramli dan Isa cari aku dan Shariff untuk diajak berniaga pencetakan. Waktu itu di penghujung tahun 1980-an dan aku masih mengajar di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar dan Shariff, Setiausaha Akhbar Menteri Besar.
     Ramli bekas pekerja Fast Print milik Haji Matchal manakala Isa, akauntan lepasan luar negara masih berkerja di Motorolla. Seremban waktu itu cuma mempunyai tiga pencetak Melayu - Percetakan TKI, Percetakan Negeri dan Fast Print.
     Dengan diberi janji perkongsian ini tidak akan mengganggu tugas rasmi, kami bersetuju dan tertubuhlah Mercu Karya, nama yang diberi Shariff sendiri.
     Seperti biasa, dalam kesibukan tugas harian, Shariff mampu mencari job di kalangan kenalan rangkaiannya. Aku pula ditugaskan mencari job majalah sekolah. Maka Mercu Karya yang berpejabat di Taman Paroi Jaya mula bernafas dan Ramli yang cukup dikenali dengan sengehnya bertambah tersengeh lagi.
     Syarikat kecil ini kemudiannya mampu membeli mesin cetak tepakai Gestetner yang cuma mampu mencetak kertas bersaiz A4. Tabletop printer istilahnya. 
     Dengan hanya Ramli sebagai pengurus dan Sharifah sebagai typesetter, kami ejen pencetakan pertama di Seremban yang menggunakan pendekatan desktop-publishing (teknologi yang dibawa Isa dari Amerika). Sesekali khidmat Hasnidan (kartunis Dan) digunakan untuk kerja-kerja grafik.
     Aku masih ingat jenama pencetak bersaiz A4 – Hawlatt Parkard yang kini lebih dikenali sebagai HP sahaja. “RM7,000 harga mesin cetak ini,” kata Isa dalam suara halusnya, bangga.
     Bagi kerja-kerja besar, Ramli membawanya ke Kuala Lumpur untuk urusan filem, pisahan warna, membeli kertas dan mencetaknya.
     Tidak sampai setahun, Ramli sering mengadu pelanggan lewat membuat bayaran. Isa yang datang sekali-sekala hanya bercerita tentang hutang yang tidak dipungut itu. Bagaimanapun Isa yang ditugaskan mengawal selia kewangan syarikat, tidak memberitahu kami pula bahawa pada masa yang sama ramai juga pelanggan yang melunaskan bayaran.
     Aku dan Shariff bukan sahaja tidak mendapat apa-apa faedah kewangan daripada perniagaan itu malah kami terpaksa pula mengeluarkan duit sendiri untuk membantu Ramli yang hendak berkahwin. Mercu Karya akhirnya menjadi Karya Terjunam!

Tiada ulasan: