Rabu, 13 Julai 2011

Semut Sepanjang Depa

“Selamat Pagi, Cikgu!”
     Ucapan manis yang lazim kuterima setiap kali kakiku melangkah ke dalam kelas. Aku memandang seorang demi seorang wajah comel anak-anak muridku. Wajah-wajah comel inilah yang selalu memberiku semangat untuk terus mengajar walaupun kadang-kadang aku tidak berapa sihat. Tetapi sebaik melangkah ke dalam kelas, aku menjadi sihat dan lupa akan penyakitku. Tujuanku cuma satu, memberi pengetahuan dan membimbing anak-anak muridku dalam pelajaran sains, bidang yang
aku ditugaskan dan aku minati.
     “Selamat Pagi, semua!”jawabku.  “Sila duduk,” sambungku lagi sambil melemparkan senyuman kepada anak-anak muridku.
     “Terima kasih, Cikgu!” jawab anak-anak muridku  serentak sambil menarik kerusi untuk duduk.
     Topik sains minggu itu adalah  ‘Alam Kehidupan’, mengenai haiwan-haiwan dan pengkelasannya. Murid-murid sudah belajar mengenai haiwan dan sifat-sifat fizikalnya. Haiwan yang berbulu halus seperti kucing, berbulu pelepah dan berkepak seperti burung, bersisik seperti ikan, berkulit tebal seperti lembu dan gajah  dan lain-lain. Mereka juga mesti mengetahui tentang berapa pasang kaki yang terdapat pada haiwan-haiwan tersebut. Pengkelasan dibuat di bawah tajuk-tajuk kecil: Haiwan berkaki dua, Haiwan berkaki empat, Haiwan berkaki enam, Haiwan berkaki lapan, Haiwan berkaki banyak dan Haiwan yang tidak berkaki.
     Sangat menarik mengetahui tentang haiwan-haiwan ini, biasanya selepas habis tajuk itu, murid-murid diminta membuat buku skrap tentang pengkelasan haiwan. Ini adalah untuk melihat sejauh mana kefahaman murid mengenai pembelajaran yang telah mereka ikuti.
     Hari itu aku memulakan pengajaran dengan bertanya kepada murid. “Siapa pernah melihat semut?” tanyaku.
     Seorang murid India  yang bernama Muthu cepat-cepat mengangkat tangannya sambil berkata “Saya, cikgu!”
     (Sekolahku mempunyai murid pelbagai kaum! Melayu, Cina, India dan Punjabi ).
     “Baiklah Muthu,”jawabku.
     “Boleh awak beritahu, besar manakah saiz semut?
     “Sebesar ini cikgu”, jawab Muthu sambil mendepakan tangannya.
     Aku tersentak dan tersenyum mendengarkan jawapan itu. Ada dua tiga orang murid yang tertawa dan yang lain mendiamkan diri sahaja.
     (Yang tertawa, mungkin kerana ia tahu jawapannya dan yang mendiamkan diri tentunya tidak tahu atau pun sengaja mendiamkan diri. Pelajaran sains adalah satu pelajaran baru bagi murid-murid Tahun 4 itu!).
     “Ini tak boleh jadi ni!”, fikiranku memikir pantas. “Perkara yang semudah ini
pun anak-anak muridku tidak tahu! Aku kena buat sesuatu!”
     Kemudian aku melangkah ke almari sains dan mengambil dua buah piring petri dan meletakkan sedikit kapas. Lalu aku pun berkata, “Baiklah murid-murid, mari kita cari semut dan kita lihat adakah semut sebesar yang dikatakan oleh Muthu”!,kataku sambil tersenyum.
     Aku pun menyuruh murid-murid beratur dan keluar ke kaki lima bilik sains. (Bilik sains itu di tingkat bawah) Aku memberikan masa selama lima minit untuk murid-muridku mencari semut. Murid-murid gembira, ada yang mencari hingga ke pokok yang berdekatan untuk mencari semut. Hasil pencarian amat menggalakkan.
     “Cikgu! Cikgu! Saya dah jumpa semut!”, kata seorang murid. Semut-semut yang dijumpai itu diletakkan di dalam piring petri yang dialas dengan kapas.
     Ada dua jenis semut yang dijumpai. Semut halus dan semut kerengga. Dan setelah diukur saiznya, yang semut paling kecil adalah lebih kurang dua milimeter.(Sebesar ‘zarah’)  Dan yang besar adalah semut kerengga, lebih kurang 1 sentimeter.
     Di dalam kelas, aku memberikan murid-murid kanta pembesar supaya mudah mereka melihat semut-semut itu. Barulah jelas kepada murid-murid itu, saiz sebenar seekor semut!. Mereka juga dapat melihat berapa bilangan kaki yang semut ada.
     Selepas habis pelajaran itu, semut-semut itu dilepaskan semula. Itu adalah
pengajaran kepada murid-murid supaya menghargai benda-benda hidup dan tidak membunuh serangga walau sekecil semut.
     Kemudian aku pun menanyakan soalan yang sama. Murid-murid menjawab dengan menunjukkan isyarat “ Ibu jari dan jari telunjuk yang didekatkan, bukan lagi dengan mendepakan tangan. Muthu dan kawan-kawannya tersenyum gembira kerana dapat melihat semut dengan lebih dekat. Perkara yang mudah yang selama ini diabaikan tetapi dapat diketahui dalam pelajaran sains.
     Dan selepas itu pengajaran dan pembelajaran pun diteruskan. Susulan daripada pelajaran itu aku mula mengumpulkan beberapa spesies serangga
kecil untuk dipamerkan kepada anak-anak muridku. Semua serangga itu adalah yang telah mati. Hehe!...Aku sebenarnya tidak sampai hati hendak membunuh walaupun cuma serangga. Jadi aku mengumpulkan bangkai serangga seperti nyamuk, lipas, belalang, kumbang, yang mana-mana dapat. Kuletakkan dalam piring petri, ditutup elok dan dilabelkan. Aku juga meletakkan kanta pembesar untuk murid-murid melihat dengan lebih dekat.
     (Serangga seperti lipas, belalang, kumbang, rama-rama akan dikerumuni
oleh semut halus jika tidak disembur dengan ‘semburan racun serangga’ (spray Ridsect sahaja!) Sebenarnya serangga diawet dengan menggunakan Ethyl Acetat.Bahan ini tiada dalam bilik sains, dengan itu aku melakukannya dengan cara paling mudah, untuk pameran jangka pendek!)
     Untuk mendekatkan murid-murid dengan sains aku membuat ‘Pameran Sains” pada waktu rehat. (Bilik sains di tingkat bawah, memudahkan kerana dekat dengan kantin). Selepas makan murid-murid boleh melihat spesimen-spesimen yang dipamerkan. Aku juga membuat beberapa sudut seperti Sudut Tumbuh-tumbuhan, Sudut Mikroskop, Sudut Buku Skrap, Sudut Eksperimen dan Sudut Carta Sains.
     Di sudut Mikroskop, murid-murid berpeluang melihat ‘keratan rentas’ bawang, stomata pada daun, hidupan seni dalam air (spesimen cacing halus sebesar rambut!) yang dijumpai di dalam akuarium. Dan aku menghabiskan masa berminggu-minggu lamanya untuk mencari spesimen yang sesuai untuk didedahkan kepada murid. Penat tapi puas dapat memberi khidmat dan pengetahuan kepada murid. Hehe…!
     Pameran Sains itu terbuka kepada semua murid dari Tahun 1 hingga ke Tahun 6. Walaupun ketika itu (Tahun 1996) pelajaran sains hanya untuk murid-murid tahap dua sahaja. (Tahap dua bermaksud: Tahun 4, 5 dan 6). Dan aku ketawa  bila mendapat maklumat bahawa ada murid-murid Tahun 1 dan 2 yang takut masuk ke bilik sains hanya kerana takut melihat serangga-serangga seperti lipas, belalang yang diawetkan!
oleh: Sharifah Intan Thalathiah

Tiada ulasan: